Menjelang majlis angkat sumpah Jokowi

Penduduk mengambil bahagian dalam perarakan bagi meraikan angkat sumpah Jokowi semalam. - Foto AFP
Penduduk mengambil bahagian dalam perarakan bagi meraikan angkat sumpah Jokowi semalam. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Menjelang majlis angkat sumpah Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi bagi penggal 2019-2024, bandar Jakarta dikawal ketat dengan anggota keselamatan ditempatkan di tepi-tepi jalan.

Sehingga jam 9 pagi (waktu tempatan), keadaan lalu lintas masih beroperasi seperti biasa dan tetamu yang menuju ke Istana Merdeka mulai datang sambil diiringi kenderaan polis.

Bukan hanya di jalan raya, pasukan keselamatan turut mengawal ketat beberapa kawasan utama termasuk pusat beli-belah, pejabat dan bangunan kerajaan.

Di dalam istana, Jokowi mengambil kesempatan bertemu beberapa pemimpin dunia sebelum dilantik bagi memperbaharui penggalnya.

Menurut tinjauan Kompas.com, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah merupakan pemimpin pertama yang hadir ke Istana Merderka di Jakarta.

Iringan yang membawa Sultan Hassanal tiba di pekarangan istana kira-kira jam 9 pagi (waktu tempatan) dan disambut Jokowi serta isterinya, Iriana Joko Widodo.

Hari ini, bekas Gabenor Jakarta itu bakal memulakan penggal baharunya selepas beberapa gelombang krisis yang menyaksikan pasukan keselamatan mengawal ketat ibu negara susulan cubaan bunuh menteri keselamatan Indonesia oleh kumpulan militan.

Lebih 30,000 anggota keselamatan ditempatkan di Jakarta berikutan kebimbangan serangan lain sementara Jokowi, 58, dan Naib Presidennya, Ma'ruf Amin, 76, mengangkat sumpah yang turut dihadiri pemimpin luar negara termasuk Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Sebelum menjadi pemimpin, Jokowi merupakan bekas ahli perniagaan yang meminati muzik rock dan berada jauh dari bidang elit politik.

Namun beliau dipilih memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia pada tahun 2014 dan juga dianggap sebagai 'jelmaan' Barack Obama.

Kepimpinan Jokowi bagaimanapun berdepan kritikan hebat selepas menghadapi pelbagai cabaran dan bantahan daripada antikerajaan, kebakaran hutan yang mencetuskan ketegangan diplomatik dengan negara jiran sehingga ke rusuhan maut di Papua dan kelembapan ekonomi di Indonesia.

Protes baru-baru ini di seluruh kepulauan yang mempunyai populasi penduduk sebanyak 260 juta orang adalah antara perhimpunan pelajar terbesar sejak demonstrasi besar-besaran yang menggulingkan pemerintahan bekas Presiden Suharto pada tahun 1998.

Majlis hari ini juga diadakan lebih seminggu selepas ketua keselamatan, Wiranto, 72, ditikam oleh dua anggota kumpulan pelampau tempatan yang mempunyai kaitan dengan militan Daesh.

Suspek berjaya ditahan di tempat kejadian dan puluhan lagi ahli kumpulan itu diberkas di seluruh negara.

Pihak berkuasa turut melarang bantahan besar-besaran kerana khuatir majlis itu mungkin digunakan bagi melindungi serangan lain.

Penggal baharu Jokowi juga sedikit sebanyak mencetuskan kebimbangan bahawa dua dekad pembaharuan demokrasi Indonesia bakal terhakis.

Bulan lalu, sekurang-kurangnya tiga pelajar maut dalam rusuhan yang membantah beberapa pembaharuan undang-undang termasuk melarang seks luar nikah dan melemahkan agensi antirasuah. - Agensi