30 keranda mumia berusia 3,000 tahun ditemukan di Mesir

Ia akan menjalani proses pemulihan sebelum dipindahkan ke bilik pameran di Muzium Besar Mesir pada tahun depan.
Ia akan menjalani proses pemulihan sebelum dipindahkan ke bilik pameran di Muzium Besar Mesir pada tahun depan.
A
A
A

LUXOR - Mesir semalam mempamerkan 30 keranda purba mengandungi mumia yang ditemukan di bandar Luxor yang merupakan penemuan tinggalan sejarah kuno terbesar sejak akhir abad ke-19.

Kementerian Antikuiti memaklumkan pasukan ahli arkeologi Mesir menemukan kumpulan keranda tersendiri untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak itu di makam purba al-Asasif di tebing barat Luxor.

"Keranda yang mempunyai ukiran dan dicat itu dipercayai berusia 3,000 tahun. Ia masih terpelihara dengan baik," jelas kenyataan itu.

Sementara itu, ketua pasukan menggali, Mostafa Waziri berkata, keranda itu adalah untuk paderi dan kanak-kanak yang berasal dari abad ke-10 sebelum Masihi di bawah pemerintahan firaun dinasti ke-22.

Difahamkan, kesemua keranda tersebut akan menjalani proses pemulihan sebelum dipindahkan ke bilik pameran di Muzium Besar Mesir yang dijangka dibuka pada tahun depan berhampiran Piramid Giza.

Penemuan tinggalan purba terbaharu itu diharap dapat menghidupkan semula sektor pelancongan di Mesir yang terjejas teruk akibat ketidakstabilan politik sejak kebangkitan rakyat dalam Arab Spring yang menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak pada 2011. - Agensi

Artikel Berkaitan: