Asma'ul Husna bukan sekadar nyanyian

Peserta ketika bersama-sama membaca Asmaul Husna di Masjid Asmaul Husna Bandar Uda Utama di sini semalam.
Peserta ketika bersama-sama membaca Asmaul Husna di Masjid Asmaul Husna Bandar Uda Utama di sini semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lebih 500 peserta hadir bersama-sama mengimarahkan bacaan Asma'ul Husna sempena Program Asma'ul Husna Perdana (PAHP) di Masjid Asmaul Husna Bandar Uda Utama di sini semalam.

Menampilkan kelainan berbanding program sebelum ini, PAHP yang merupakan anjuran Rumah Ngaji itu dilaksanakan sebagai pendedahan baharu buat umat Islam di negara ini berkenaan nama-nama ALLAH SWT selain perincian mengenainya.

Penaung Rumah Ngaji Bidadari Syurga, Maizom Yahya berkata, penganjuran program berkenaan juga merupakan julung kali diadakan selain dianggap pengisian baharu bagi takwim Rumah Ngaji bagi masa akan datang.

"Seringkali umat Islam di negara ini faham mengenai apa itu Asma'ul Husna iaitu nama-nama ALLAH SWT yang mana diungkapkan dengan merdu dalam nyanyian. Jadi program ini kita ajak ramai-ramai untuk mendalaminya lagi.

"Kita akan didedahkan dengan perincian dengan selingan Ratib iaitu penceritaan mengenai ALLAH SWT. Alhamdulillah penerimaan masyarakat amat memberangsangkan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada majlis berkenaan.

Maizom berkata, pada program itu seramai tiga habib berpengalaman mengenai Ratib yang mana salah seorang daripadanya dari Indonesia turut dijemput untuk mengetuai bacaan berkenaan.

"Sebab itu kita pilih untuk mula di Johor Bahru, sebab ketiga-tiga ini memang sering melakukan program agama di sini. Mereka juga mempunyai pengalaman dan ilmu menarik untuk dikongsi kepada para jemaah.

"Hasrat kita, selain daripada ilmu yang kita pelajari hari ini ia juga boleh merapatkan hubungan silaturahim sesama kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Masjid Asmaul Husna, Kamarudin Bujang berkata, pihaknya begitu berbesar hari menerima kunjungan Rumah Ngaji bagi pelaksanaan program berkenaan.

"Kita memang alu-alu sangat majlis agama seperti ini, tambahan pula masjid kita ini juga baharu dibuka pada 1 Ramadan lepas secara tidak langsung ia juga menarik penduduk setempat untuk sama-sama bermuafakat di masjid," katanya.