Wanita kongsi pengalaman disahkan kanser ketika hamil

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pesakit kanser memberi gambaran mereka terpaksa berjuang meneruskan kehidupan di samping memerlukan sokongan keluarga.

Mereka ditemui pada Hari Pejuang Kanser anjuran National Cancer Society Malaysia (NCSM) di sini.

Khairunnisa Roslan, 33, berkata, sudah lebih dua tahun dia berusaha pulih daripada penyakit itu demi keluarga tercinta.

"Perjuangan berganda. Begitulah ibaratnya selepas saya disahkan menghidap kanser payudara ketika usia kandungan anak kedua mencapai tujuh bulan. Dunia saya dirasakan gelap.

"Ibu saya sendiri sukar menerima kenyataan ketika mendapat tahu saya menghidap kanser," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia tidak mempunyai pilihan selain daripada terus kuat untuk terus hidup dan menjalani rawatan termasuk membuang ketumbuhan.

"Ketika itu saya juga bimbang dengan keadaan anak dalam kandungan tetapi Alhamdulillah walaupun berjuang melawan kanser, saya dapat lahirkan anak secara normal dan bayi juga sihat serta sempurna," katanya.

Mahani Kassim, 56, turut berkongsi pengalaman setelah disahkan menghidap kanser payudara pada 2018.

Artikel Berkaitan:

Mahani yang pernah menjalani 25 sesi rawatan radioterapi dan enam kemoterapi menyifatkan sokongan daripada keluarga dan kenalan menjadi sumber kekuatan selain perlu menjadi positif.

"Saya simpan kesedihan saya dan kuat di depan keluarga. Keluarga juga tunjuk kuat di depan saya walaupun kami tahu semuanya hanya pura-pura.

"Namun pada saya, sokongan orang sekeliling amat penting. Jadi sangat penting kita berkongsi

dengan orang lain jika mendapat tahu kita menghidap kanser.

"Stigma sosial memang wujud apabila ada yang kata pesakit kanser ini disebabkan dosa yang telah dilakukan tetapi saya tidak ambil peduli kerana itu semua adalah ujian. Nabi kita pun diuji," katanya.