X

Kindly register in order to view this article
!

Beli dekoder disah SKMM, Sirim untuk siaran MyFreeview berkualiti

A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan agar rakyat negara ini membeli dekoder yang disahkan SKMM atau SIRIM Bhd bagi memastikan siaran televisyen TV Digital myFreeview yang diterima berkualiti.

SKMM dalam kenyataan hari ini berkata, kualiti penerimaan siaran TV Digital myFreeview akan terjejas sekiranya pengguna menggunakan dekoder dan antena tiruan yang dijual di pasaran serta penggunaan kabel yang salah.

“SKMM mengambil maklum mengenai kekecewaan yang diluahkan segelintir rakyat terhadap kualiti penerimaan perkhidmatan siaran TV Digital myFreeview baru-baru ini.

“Usaha untuk menyelesaikan masalah berbangkit sedang diambil pada masa nyata. SKMM akan sentiasa memantau keadaan agar setiap rakyat dapat menikmati siaran TV Digital myFreeview yang berkualiti,” menurut kenyataan itu.

Justeru itu, SKMM menggariskan beberapa panduan lain bagi mendapatkan siaran berkualiti antaranya memasang dekoder ‘Digital Terestrial Televisyen’ (DTT) atau ‘Direct-To-Home’ (DTH) ke set televisyen sedia ada beserta antena Ultra Frekuensi Tinggi (UHF) luaran atau dalaman.

Selain itu, SKMM mengingatkan agar pengguna memasang antena UHF luaran yang menghala ke arah sistem pemancar TV Digital yang berdekatan bagi mendapatkan siaran.

“Penggunaan antena sedia ada juga boleh digunakan. Pastikan sebarang alatan sambungan (kabel RG6) berada dalam keadaan baik. Untuk bantuan pemasangan antena yang betul layari http://www.mytvbroadcasting.my/pemasang_berdaftar/,” menurut kenyataan itu.

Bagi mendapatkan bantuan lanjut, SKMM menasihatkan pengguna agar menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan MYTV di talian 1800-18-1088 bermula 8.00 pagi sehingga 10 malam setiap hari, termasuk cuti umum.

Peralihan siaran TV analog ke TV Digital myFreeview bermula di wilayah Tengah dan Selatan pada 30 September, wilayah Utara dan Timur pada 14 Oktober manakala Sabah dan Sarawak pada 31 Oktober ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus