X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Faham dan hayati kontrak sosial

A
A

MUTAKHIR ini, isu berkaitan kontrak sosial terus diungkit dan menjadi polemik dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Siri polemik itu jika tidak ditangani mampu mengundang ketegangan kaum dan menggugat keselamatan negara.

Sumber daripada Majlis Profesor Negara menyatakan konsep kontrak sosial itu merujuk kepada persetujuan bersama yang tercapai dalam kalangan pemimpin Melayu, Cina dan India pada 1956. Persetujuan dan kesepakatan itu berlaku ketika Suruhanjaya Reid sedang mengumpulkan pandangan pelbagai pihak yang tinggal di negeri-negeri Tanah Melayu untuk menggubal Perlembagaan Persekutuan bagi mencapai kemerdekaan pada 1957. Perlembagaan negara kita unik kerana ia terhasil melalui perjuangan orang Melayu menolak Malayan Union dan rakyat menuntut kemerdekaan.

Penolakan Malayan Union melahirkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan perjuangan kemerdekaan menghasilkan Perjanjian Kemerdekaan 1957.Kontrak sosial bukan sekadar sebuah dokumen mengenai peraturan dan cara pengendalian sseebuah negara. Namun yang lebih penting lagi ia asas kontrak sosial antara pelbagai komponen yang saling berkaitan.

Kontrak sosial antara orang Melayu sebagai kaum pribumi dengan kaum lain, antara raja dan rakyatnya dan negeri-negeri yang berdaulat dengan Persekutuan.

Melalui kontrak sosial itu, semua kaum diberikan jaminan hak timbal balas kepada kerelaan mereka melepaskan sebahagian daripada hak yang lain. Orang Melayu mendapat hak keistimewaan, jaminan kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, tanah rizab Melayu dan hak-hak yang lain.

Kaum lain mendapat jaminan hak mengamalkan adat resam, bahasa dan agama masing-masing. Di samping hak mereka yang terpenting iaitu hak kewarganegaraan untuk berkongsi hidup sebagai rakyat di bumi Malaya ini.

Dipayungi raja

Raja-raja Melayu pula dijamin kedaulatan dan hak-hak kedaulatan sebagai tanda terima kasih rakyat atas perkenan baginda-baginda melepaskan banyak hak yang lain dalam Sistem Raja Berperlembagaan.

Rakyat menerima raja yang berdaulat sebagai payung keadilan, ketua agama Islam, pendokong adat istiadat orang Melayu, ketuanan Melayu dan pemelihara keadilan bagi masyarakat berbilang kaum.

Kedudukan kedaulatan raja-raja Melayu dicerminkan melalui susunan Perlembagaan. Perkara 181(1) dan 181(2) di bawah klausa saving for rulers sovereigny etc terletak di bahagian paling terakhir Perlembagaan kita.

Itulah klausa penamat yang menjadi kesimpulan keseluruhan isi kandungan karya besar yang bernama Perlembagaan Malaysia. Perkara 181(2) mengenai imuniti raja-raja adalah manifestasi terpenting kepada Konsep Kedaulatan Institusi itu.

Konsep Kedaulatan Institusi menjadi tiang seri kepada kekukuhan Perlembagaan negara.

Kita boleh berbangga, Malaysia walaupun masyarakatnya pelbagai keturunan dan agama, warganya hidup damai.

Sejarah keharmonian pernah dicalarkan oleh tragedi 13 Mei 1969 iaitu 21 tahun setelah Perjanjian 1948.

Perbezaan taraf ekonomi antara kaum mencetuskan perasaan marah hingga ada yang mengungkit perjanjian terdahulu. Itu termasuk membangkitkan soal kewarganegaraan, mencaci raja-raja Melayu dan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu.

Sehubungan itu, Majlis Profesor Negara menyeru agar rakyat terus menghayati perjanjian asal.

Dalam tahun 1971, Perlembagaan Persekutuan dipinda dan dimasukkan ke Perkara 63(2) yang melarang sesiapa sahaja membangkitkan perkara-perkara disifatkan sensitif oleh Akta Hasutan termasuk menyentuh kedudukan dan kemuliaan martabat raja-raja Melayu.

Bagi mengelak peristiwa pahit berulang, kita memberi kunci amanah kestabilan negara kepada Institusi Raja-raja Melayu dan bukannya kepada ahli-ahli politik.

Amanah itu ialah Perkara 159(5), Perlembagaan Persekutuan antara lainnya Perkara 159(5) menyatakan Bahagian III Perlembagaan mengenai hak kewarganegaraan. Perkara 38 mengenai kedudukan raja-raja Melayu. Perkara 152 mengenai kedudukan bahasa Melayu dan Perkara 153 mengenai hak keistimewaan orang Melayu tidak boleh dipinda melainkan persetujuan Majlis Raja-raja Melayu.

Inilah amanah besar keharmonian negara yang tidak boleh diubah oleh kuasa majoriti 2/3 di Dewan Rakyat tanpa persetujuan Majlis Raja-raja Melayu.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM)


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!