Mawar-Yadim desak Ahli Parlimen Pendang mohon maaf

Hafidzah
Hafidzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wanita Perundingan Wanita Rahmah (Mawar) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen Pendang dari Pas, Awang Hashim yang berbaur seksis dan menghina wanita di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Pengerusinya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, tindakan Awang memberi perumpamaan perbalahan dan pertentangan politik dengan wanita bertentangan dengan slogan 'Hormati wanita, masyarakat sejahtera'.

"Kami kesal dengan kenyataan wakil rakyat tersebut menyatakan 'kamu bukan isteri pertama tetapi janda yang tak boleh pakai' dan menunjukkannya kepada sebuah parti politik.

“Kami menuntut agar Ahli Parlimen Pendang memohon maaf kerana kenyataan seperti ini tidak wajar dan tidak patut keluar dari mulut seorang pemimpin negara.

“Sekiranya dibiarkan, maka wanita akan terus menjadi bahan penghinaan seperti ini dari masa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, Mawar-Yadim memandang berat tentang isu berkenaan kerana ini bukanlah kali pertama wakil-wakil rakyat membuat kenyataan menghina wanita seperti ini di Dewan Rakyat.

Menurutnya, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga pernah membuat kenyataan menghina wanita.

“Beliau menyatakan 'hartanah seperti wanita, harganya meningkat apabila memakai alat solek. jika tidak memakai alat solek harganya menurun'.

Artikel Berkaitan:

“Pada 9 Mei 2007, dua Ahli Parlimen iaitu Datuk Mohd Said Yusof dan Datuk Bung Mokhtar Radin telah membuat kenyataan yang didakwa menghina wanita di Dewan Rakyat dan ia telah mendapat bantahan kumpulan wanita seluruh negara.

“Apakah yang boleh diharapkan jika pemimpin-pemimpin peringkat tertinggi negara tidak peka dengan teguran ini, dan tidak dapat menunjukkan contoh yang baik untuk rakyat jelata?” soal beliau.