MBI ikut prosedur, roboh langkah terakhir

Laporan Sinar Online sebelum ini.
Laporan Sinar Online sebelum ini.
A
A
A

IPOH - Kerja meroboh binaan tanpa kebenaran merupakan langkah terakhir yang diambil Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selepas notis dikeluarkan tidak diendahkan pemilik.

MBI dalam satu kenyataan berkata, operasi yang dilakukan itu juga adalah mengikut prosedur perundangan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Dalam kes kerja meroboh gerai di Jalan Pengkalan Barat 32, Station 18 pada 16 Oktober lalu, dua notis meroboh telah dikeluarkan kepada peniaga sejak 2018.

"Notis meroboh kali pertama dikeluarkan pada 15 Januari 2018 bagi sebuah binaan khemah.

"Susulan daripada itu, notis meroboh kali kedua dikeluarkan pada 17 Januari 2019 bagi keseluruhan binaan sepanjang jalan, bagaimanapun notis tersebut tidak diendahkan maka kerja meroboh dilakukan," katanya.

Menerusi Mesyuarat Penyelarasan Operasi Meroboh yang diadakan pada 1 Oktober lalu, MBI menjalankan operasi meroboh binaan tanpa kebenaran secara berperingkat di sekitar bandaraya Ipoh.

Pada 14 Oktober lalu, MBI turut menjalankan operasi meroboh bagi binaan stor barang lusuh dan parkir kenderaan tanpa kelulusan di Jalan Dato Mahmud.

Menurut kenyataan itu, lawatan tapak bersama Ahli Majlis MBI dan teguran secara lisan sudah dibuat pada Oktober tahun lalu, disusuli notis meroboh pada 30 April 2019 bagi tempoh 30 hari.

Artikel Berkaitan:

"Namun teguran dan notis dibuat tidak dipatuhi oleh pemilik menyebabkan operasi meroboh dijalankan pada 14 Oktober lepas," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari kesal dengan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang menjalankan kerja-kerja meroboh gerai di kawasannya tanpa pengetahuan beliau selaku wakil rakyat.

Tindakan itu telah menyebabkan peniaga kecil kerugian hampir RM70,000 akibat tidak sempat menyelamatkan peralatan kerana mendakwa tidak menerima sebarang notis meroboh.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu roboh gerai: Aziz Bari ingatkan MBI ikut cara lebih berhemah