Membanggai bahasa sendiri

A
A

BERDASARKAN pengamatan sehari-hari, semakin ketara masyarakat kita gemar berhubung dengan menggunakan bahasa yang bercampur-campur.

Gaya bahasa ini dipanggil sebagai “percampuran kod”, dan ada yang memanggilnya “bahasa rojak”, “bahasa yang sekerat ular sekerat belut”, dan sebagainya.

Keadaan ini selalunya berlaku dalam pertuturan. Namun begitu, tabiat berbahasa begini sudah masuk ke dalam bahasa penulisan juga, terutamanya dalam media sosial.

Yang dicampurkan dengan bahasa Melayu selalunya ialah bahasa Inggeris. Untuk meminta maaf, kita lebih cepat menggunakan perkataan sorry berbanding dengan perkataan “maaf”. Kita fasih menuturkan perkataan call, drive, airport, flight, dan sebagainya dalam pelbagai urusan.

Penggunaan perkataan-perkataan seperti itu bukanlah berpunca daripada tiadanya perkataan yang sama ertinya dalam bahasa Melayu, tetapi disebabkan lebih selesa berbahasa sedemikian.

Pendeta Za’ba mengulas hal ini dalam Bab XV bukunya, "Ilmu Mengarang Melayu" (1934). Menurutnya, ada beberapa faktor bahasa asing digunakan oleh penutur bahasa Melayu, iaitu:

1. Tidak terdapat perkataan bahasa Melayu untuk menyebut hal yang tiada dalam fikiran atau berkaitan dengan orang Melayu,

2. Tidak didapati perkataan yang benar-benar tepat dalam bahasa Melayu untuk membawa makna yang terdapat dalam bahasa asing,

3. Tidak mengetahui bahawa terdapat perkataan dalam bahasa Melayu, atau tidak dapat mengingatinya,

4. Perkataan yang sedia ada dalam bahasa sendiri sudah “lapuk” dan “lusuh” atau “tiada bergaya”, maka dipakai sesuatu yang baharu yang dirasakan “bergaya”,

5. Berlagak untuk menunjukkan bahawa diketahuinya bahasa asing walaupun terdapat perkataannya dalam bahasanya sendiri,

6. Orang yang pandai dalam bahasa asing tidak pandai dalam bahasanya sendiri dan tidak berusaha untuk mencari perkataan yang sesuai yang ada dalam bahasanya.

Faktor pertama dan kedua mungkin sesuai untuk membenarkan pengambilan kosa kata daripada bahasa asing atas dasar keperluan.

Jika bahasa Melayu tidak meminjam perkataan yang tiada dalam budaya sendiri, akan timbul kesukaran untuk berurusan dengan segera tentang hal yang berkenaan. Proses untuk membentuk istilah bahasa Melayu sendiri akan mengambil masa yang lama.

Faktor keempat, kelima dan keenam barangkali amat sinis bagi penutur yang suka menggunakan bahasa bercampur aduk. Yang dimaksudkan oleh Za’ba ialah pengambilan bahasa asing secara sewenang-wenangnya.

Bahasa Melayu sudah ada perkataan yang sedap didengar, ringkas dan sebati, tetapi digunakan perkataan lain yang kebaratan. Contohnya ialah penggunaan perkataan errata yang diambil daripada erratum, sedangkan sudah lama terdapat perkataan ralat yang bermaksud “tidak betul, keliru, dan salah”.

Bahasa kebangsaan seharusnya terungkap dengan selesa dan bangganya di bibir orang Malaysia apabila berhubung sesama sendiri. Penggunaan bahasa rojak tidak harus diamalkan kerana hal itu mencemari kedaulatan bahasa kebangsaan.

Sebenarnya, tidak timbul keadaan bahawa sesuatu perkataan itu tepat atau tidak sama taraf dengan perkataan daripada bahasa lain. Kita sendiri yang berhak untuk menjadikan makna bagi sesuatu perkataan dalam bahasa kita itu tepat atau kuat.

Apabila kita menerima dan mengiktirafnya sebagai yang betul bagi bahasa kita, maka kuatlah dan tepatlah sesuatu perkataan itu dalam bahasa kita.

Sehubungan itu, adalah amat baik untuk menamakan sesuatu keluaran, pertubuhan, peraturan, dan sebagainya dengan menggunakan perkataan yang sudah ada dalam bahasa Melayu. Pilihlah perkataan yang sedap didengar dan mempunyai makna yang murni.

Sekiranya kita memperkenalkan keluaran atau hasil kajian baharu, kita gunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan, walaupun keluaran atau hasil kajian itu dipasarkan di luar negara.

Biar masyarakat bahasa lain memanggil barangan itu dengan menggunakan bahasa kita pula.

Biarlah mereka menyebutnya mengikut pelat bahasa mereka sendiri. Sekiranya mereka menukarnya kepada nama yang menggunakan bahasa mereka, hal itu terpulang kepada mereka, kerana hal itu membuktikan bahawa mereka memiliki jati diri yang teguh terhadap bahasa sendiri.

Sebaliknya, kita tentu tidak mahu dianggap dayus kerana awal-awal lagi sudah menggunakan bahasa orang lain. Bahasa kita ialah jiwa kita sendiri!

*** Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.