'Sudah 10 kali rumah dilanda banjir lumpur'

Hairul Razid (kanan) menunjukkan kesan banjir lumpur pada keretanya.
Hairul Razid (kanan) menunjukkan kesan banjir lumpur pada keretanya.
A
A
A

IJOK - Kira-kira 150 penduduk di Kampung Seri Sentosa di sini hidup tertekan apabila kediaman mereka sering dilanda banjir kilat sejak enam tahun lalu.

Sehingga Oktober tahun ini sahaja, kawasan itu sudah 10 kali digenangi air lumpur dan tiga kali penduduk terpaksa dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Desa Coalfields.

Seorang penduduk, Mohamad Wagiman, 71, berkata, kali terakhir kawasan kampung itu dilanda banjir kilat semalam.

"Banjir kilat yang melanda jam 5.30 petang semalam menyebabkan beberapa perabot dan barangan rumah penduduk kampung ditenggelami air," katanya.

Dakwanya, keadaan itu berpunca akibat pembangunan perumahan yang terlalu pesat di kawasan berhampiran.

Menurutnya, sungai di kampung berkenaan semakin sempit dan tidak mampu menampung air lebihan dari beberapa kawasan seperti Sungai Buloh dan Damansara terutama pada waktu hujan.

"Jika berlaku hujan berterusan lebih tiga jam di Sungai Buloh misalnya, kawasan rendah di kampung ini walaupun tidak hujan mula dinaiki air secara berperingkat-peringkat," katanya.

Keadaan sebuah rumah penduduk yang dilanda banjir semalam.
Keadaan sebuah rumah penduduk yang dilanda banjir semalam.

Artikel Berkaitan:

Mohamad berkata, masalah itu seharusnya ditangani segera kerajaan termasuk melaksanakan projek tebatan banjir.

"Kita merayu jika pembangunan boleh dilaksanakan di kawasan perumahan elit di kawasan ini, tetapi janganlah lupa penduduk yang menetap di kampung tradisional ini.

"Kita juga merayu kerajaan supaya mendalamkan dan melebarkan lagi sungai serta membina benteng penahan air sungai dari melimpah ke rumah penduduk," katanya.

Hairul Razid Mohamad Seri, 36, pula berkata, kejadian banjir kilat bukan isu baru di kampung itu, malah semakin teruk sejak akhir-akhir ini.

"Masa zaman kanak-kanak saya memang suka banjir sebab air jernih hingga boleh nampak ikan berenang, tapi sejak enam tahun kebelakangan ini air yang melimpah ke rumah terlalu kotor dan dipenuhi lumpur.

"Walaupun banjir surut dalam tiga atau empat jam kemudian, namun kami mengambil masa lama untuk mencuci rumah yang terlalu kotor," katanya.

Justeru katanya, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari diminta turun padang meninjau sendiri permasalahan yang dihadapi penduduk kampung terbabit.

"Kami merayu kerajaan negeri bantulah kami dan berilah bantuan sewajarnya agar masalah ini ditangani segera.

"Kami berharap peruntukan Belanjawan Selangor 2020 juga termasuk dalam agenda kerajaan negeri menangani isu banjir di Kampung Sentosa," katanya.