Gesa MPS batal kelulusan bazar larut malam

Sebahagian pengusaha Perindustrian DBP membantah perlaksanaan bazar larut malam di kawasan terbabit.
A
A

BATU CAVES - Pengusaha-Pengusaha Kawasan Perindustrian Dolomite Business Park (DBP) sebulat suara menggesa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membatalkan kelulusan perlaksanaan bazar larut malam di kawasan terbabit.

Wakil Pengusahanya, Teh Kian Chong berkata, pemilik dan pengusaha DBP hairan bagaimana MPS boleh memberi kelulusan kedua sedangkan permohonan terbabit ditolak pada 15 Ogos lalu.

"MPS meluluskan permohonan kali pertama pada 19 Februari lalu namun permohonan terbabit ditolak kerana terdapat bantahan daripada pengusaha kilang di kawasan DBP.

"Kami mendapat tahu terdapat usaha mengadakan bazar malam di kawasan perindustrian menerusi pemasangan gegantung dengan logo MPS dan dihebahkan di Facebook," katanya.

Kian Chong berkata, DBP adalah sebuah kawasan perindustrian dengan lot pemilik persendirian.

Katanya, cadangan mengadakan bazar malam di kawasan itu dibantah berikutan waktu operasi pengusaha DBP berterusan hingga larut malam.

"Di samping itu, kenderaan milik kami seperti lori kontena dipakir di hadapan premis selain beberapa kilang juga beroperasi dan memunggah barang pada waktu malam," katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya bimbang berlaku kesesakan jalan raya membabitkan ambulans dan jentera bomba jika berlaku kes kecemasan.

"Kami bimbang keselamatan orang awam dan harta benda apabila memberi kebenaran mengadakan bazar malam di kawasan ini. Kami harap mendapat pertimbangan sewajarnya daripada MPS," katanya.