Gambar Maghribi menggegar PKR

A
A
A

SEBELUM kita melangkah ke tahun baharu selasa lalu, dua tempat ini barangkali paling banyak diperkatakan rakyat Malaysia. Pertama Cordoba dan kedua Morocco (Maghribi).

Kedua-dua tempat ini tidak semena-mena menjadi perhatian dan perbualan hangat rakyat sementara menunggu sambutan tahun baharu. Kalau "Warkah dari Cordoba" mencetus perhatian pelbagai menerusi usikan dan sindiran melucukan, gambar dari Maghribi pula barangkali mencipta debaran yang mencemaskan.

Ketika ketegangan meningkat antara Anwar-Azmin akibat pelantikan beberapa individu tertentu dalam kepimpinan tertinggi PKR, viralnya gambar percutian bersama keluarga Azmin dan Hishammuddin sudah tentu akan menimbulkan banyak persoalan. Tidak mengejutkan apabila Azmin kurang senang dengan tindakan Anwar itu. Siapa pun akan marah kalau orang-orangnya yang menang dalam pemilihan parti yang sengit tiba-tiba diketepikan.

Walaupun alasan bahawa prinsip ‘fair and just representation’ diketepikan dalam keputusan Anwar itu, agak sukar untuk mempercayai bahawa itulah sahaja penyebab kepada ketegangan antara dua tokoh besar PKR ketika ini.

Kalau dilihat, semenjak pemilihan PKR bermula, cakap-cakap belakang sudah mula menggambarkan ia sebagai ‘perang proksi’ antara Anwar-Azmin, berbanding Azmin lawan Rafizi.

Isu gambar barangkali bukanlah perkara baharu dalam hubungan tegang antara Anwar-Azmin. Sebelum inipun mereka pernah saling ‘membahan’ menerusi Twitter dan proksi masing-masing. Lihat sahajalah bagaimana Twitter Azmin yang mendoakan kesihatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir di Makkah dibalas Anwar dengan tweet memerli Azmin sebagai Menteri Ekonomi agar kurangkan berpolitik dan fokus kepada meningkatkan ekonomi.

Barangkali ramai juga yang masih ingat ketika Kongres Nasional PKR November lalu, bagaimana Azmin-Rafizi selepas saling bermaafan dan berpelukan, itupun setelah didesak oleh perwakilan dan akar umbi, tetapi sepanjang kongres berlangsung mereka saling sindir menyindir dan memerli antara satu sama lain.

Malah, sebaik kongres berakhir, kenyataan Anwar yang mahukan kepimpinan tertinggi PKR bersifat ‘inklusif dan seimbang’ tidak mendapat sebarang respons daripada Azmin. Dari situlah dilihat Azmin sudah tidak lagi ‘sealiran’ dengan Anwar walaupun satu ketika dahulu, amat sukar untuk membayangkan yang Azmin akan ingkar kepada Anwar.

Artikel Berkaitan:

Azmin sememangnya berada di kedudukan yang selesa berbanding Anwar. Ketika ini beliau menguasai 70 peratus sokongan dalam PKR. Walaupun Anwar masih punya pengaruh yang besar dalam parti, beliau terlalu bergantung kepada nostalgia dan legasi lampaunya dalam membina sokongan. Barangkali dengan melantik orang-orang yang disukainya, Anwar mahu mengimbangi kekuatan Azmin dalam pimpinan parti dan seterusnya menyekat pengaruh Azmin dalam PRK.

Lagipun bagi seorang pemimpin, adalah menjadi kebiasaan untuk melantik mana-mana individu yang setia membantu dan selesa bekerjasama dengannya dalam sesuatu organisasi, apatah lagi parti politik. Kalau tidak, takkanlah Donald Trump melantik menantunya, Jared Kushner sebagai penasihat kanannya walaupun Jared tiada pengalaman dan melanggar undang-undang anti-nepotisme negara Uncle Sam itu.

Di luar PKR, hubungan baik Azmin dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir juga menggusarkan Anwar. Walaupun Tun Dr Mahathir masih komited dengan pelan peralihan kuasa kepada Anwar, perkembangan semasa kelihatan sebaliknya. Perhimpunan Agung Bersatu baru-baru ini mencadangkan jawatan Perdana Menteri kekal sehingga PRU15. Walaupun ditolak oleh Tun sendiri kerana bercanggah dengan persetiaan dalam PH, ia masih belum mutlak.

Dengan jangkaan bahawa aktiviti melompat parti dan kemasukan Bersatu ke Sarawak dan mungkin Sabah, silap-silap cadangan itu mungkin jadi kenyataan. Tambahan pula, ada khabar angin mengatakan Azmin dan orang-orangnya akan menyertai Bersatu mungkin boleh mengubah keadaan semasa. Mana-mana individu yang berhadapan dengan situasi ini sudah pasti sedar bahawa Azmin sudah menjadi saingan politik yang sangat berpotensi untuk menggugat mana-mana tokoh sedia ada.

Begitulah hebatnya kuasa sekeping gambar. Dalam menyampaikan sesuatu, kadang-kadang ia lebih senang dilakukan menerusi visual berbanding dengan penjelasan atau kata-kata yang panjang berjela. Secara mudah, sekeping gambar lebih bermakna daripada ribuan kata-kata.

Justeru, kalau ini mahu dikaitkan dengan gambar dari Maghribi, Azmin barangkali seperti mahu menghantar isyarat kepada pihak-pihak tertentu dengan cara mudah dan berkesan.* Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM