Lega dapat air bersih selepas 30 tahun menanti

Zafri (kanan) bersama Zawahir (kiri) menunjukkan bekalan air bersih yang ditapis menerusi projek Bekalan Air Bersih Etiqa kepada kanak-kanak di Kampung Padang Bukit, Lubok Setol.
Zafri (kanan) bersama Zawahir (kiri) menunjukkan bekalan air bersih yang ditapis menerusi projek Bekalan Air Bersih Etiqa kepada kanak-kanak di Kampung Padang Bukit, Lubok Setol.
A
A
A

RANTAU PANJANG - [VIDEO] Lebih 1,000 penduduk Kampung Padang Bukit, Lubok Setol di sini lega apabila penantian mereka selama 30 tahun untuk menikmati bekalan air bersih akhirnya terlaksana selepas ia direalisasikan oleh Etiqa Family Takaful Berhad dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM).

Projek Bekalan Air Bersih Etiqa sebanyak 5,000 liter itu mampu memberikan manfaatkan kepada penduduk yang sebelum ini bergantung harap kepada sebuah perigi sahaja di kawasan berkenaan.

Wakil penduduk, Mohamad Ab Razak, 62, berkata, paling memeritkan setiap kali tibanya musim kemarau kerana mereka terpaksa bergilir-gilir menjaga pam bagi memastikan bekalan air bersih yang terawat mencukupi untuk bekalan harian.

"Tidak cukup dengan itu, kami juga terpaksa memantau pam bagi mengelakkan ia daripada terbakar yang boleh menyebabkan kami berdepan masalah lebih besar selepas ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Projek Bekalan Air Bersih Etiqa di sini hari ini.

Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim.

Hadir sama, Presiden IAM Zawahir Abdullah.

Menurutnya, kemudahan itu memberikan manfaat cukup besar buat seluruh penduduk kampung yang sudah lama mengimpikan bekalan air bersih.

Katanya, selepas ini penduduk tidak perlu lagi bersengkang mata atau 'bermandi' peluh mendapatkan bekalan air untuk kehidupan harian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zafri berkata, setakat ini pihaknya sudah membelanjakan RM800,000 untuk projek bekalan air bersih di seluruh negara bagi tahun 2019.

Katanya, Etiqa Family Takaful Berhad menyasarkan RM1 juta dibelanjakan untuk projek bekalan air bersih untuk tahun ini.

Kanak-kanak di Kampung Padang Bukit, Lubok Setol tidak melepaskan peluang menikmati air mineral semula jadi yang ditandak dari Bukit Kwong.
Kanak-kanak di Kampung Padang Bukit, Lubok Setol tidak melepaskan peluang menikmati air mineral semula jadi yang ditandak dari Bukit Kwong.

"Bekalan air bersih merupakan salah satu projek tanggungjawab sosial korporat pihak kami kepada masyarakat," katanya.

Menurutnya, projek bekalan air bersih kepada penduduk yang memerlukan itu telah dimulakan sejak tahun 2017 lalu.

Dalam pada itu, Zawahir berkata, bekalan air yang disalurkan kepada penduduk di sini merupakan sumber yang ditandak dari kawasan Bukit Kwong.

Katanya, bekalan yang ditandak itu akan disambung terus ke tangki simpanan untuk ditapis secara bersih dan kemudian disalurkan terus kepada pengguna.

Beliau berkata, penduduk bukan sahaja menikmati air bersih tetapi air mineral semula jadi yang kaya dengan pelbagai sumber.