Kementerian tunggu laporan lengkap akaun bank penerima PSP terdedah

Gobind Singh Deo -Foto Bernama
Gobind Singh Deo -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Komunikasi dan Multimedia masih menunggu laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung nombor akaun bank penerima Program Subsidi Petrol (PSP) yang terdedah di portal rasmi PSP.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, beliau sudah meminta laporan mengenai perkara itu daripada KPDNHEP dan pihak yang berkaitan.

“Saya tidak akan memberi sebarang komen sehingga saya melihat laporan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pertandingan Smart School IOT Hackathon Peringkat Negeri Selangor di Cyberjaya di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah laman web berkaitan teknologi menunjukkan kelemahan portal PSP kerana membolehkan pengguna melihat nombor akaun bank setiap penerima lain pada kod sumber di halaman carian.

Susulan itu, KPDNHEP mengumumkan sudah mengambil langkah menangani pendedahan maklumat perbankan di laman web subsidi petrolnya itu.

Menurut siaran akhbar KPDNHEP, kementerian tersebut telah meningkatkan sistem dan keselamatan data laman web sebelum mengaktifkannya semula untuk diakses orang ramai.

Sementara itu, dalam ucapan pelancaran bagi Smart School IOT Hackathon itu, Gobind berkata, beliau berharap program sedemikian dapat meningkatkan kreativiti, inovasi dan keupayaan menyelesaikan masalah dalam kalangan peserta.

"Kementerian Komunikasi dan Multimedia amat menitikberatkan kepentingan pelajar dalam memperoleh ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan digital.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, pelbagai usaha harus dilaksanakan sebagai persiapan untuk anak-anak kita di alam pekerjaan di masa hadapan,” katanya.