Presiden Chile isytihar darurat susulan protes ganas

Penunjuk perasaan turut membakar sebuah bas semasa protes di pinggir Santiago.
Penunjuk perasaan turut membakar sebuah bas semasa protes di pinggir Santiago.
A
A
A

SANTIAGO - Presiden Chile mengisytiharkan darurat di ibu negara, Santiago sehari selepas tunjuk perasaan membantah kenaikan harga tambang perkhidmatan pengangkutan metro bertukar ganas.

Tunjuk perasaan di Santiago semalam mengakibatkan beberapa hentian kereta api bawah tanah mengalami kerosakan teruk.

Penunjuk perasaan turut menyalakan api di pintu masuk beberapa stesen, membakar bas awam dan merosakkan pintu mekanikal di stesen kereta api.

Ribuan lagi penunjuk perasaan menyertai demonstrasi itu termasuk menghalang laluan trafik.

"Saya mengisytiharkan darurat dan telah melantik Jeneral Javier Iturriaga del Campo sebagai ketua pertahanan negara mengikut peruntukan undang-undang kecemasan Chile," kata Presiden Sebastian Pinera.

Tambahnya, tentera diberi lampu hijau untuk mengawal rusuhan sekali gus mengembalikan ketenteraman awam.

Pelajar universiti dan sekolah menengah mengadakan protes selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga tambang sebanyak AS$1.17 (RM4.89) pada 6 Oktober lalu, susulan kos bahan api dan mata wang peso yang lemah.

Pinera mengutuk bantahan yang bertukar ganas itu satu perbuatan jenayah. - AFP

Artikel Berkaitan: