Kerajaan tubuh agensi pemasaran produk luar bandar

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan menubuhkan agensi pemasaran bagi memberi nasihat dan tunjuk ajar untuk memperluaskan produk usahawan luar bandar.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara perkara yang boleh dilakukan ialah membentuk perkongsian pintar antara komuniti usahawan luar bandar dan pihak berkepentingan.

"Ia termasuk dengan pihak swasta bagi meningkatkan jaringan dan rantaian pemasaran pembekalan dan pengeksportan," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD) menerusi rakaman video di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun dan Timbalannya, R Sivarasa.

Perdana Menteri berkata, usahawan luar bandar juga perlu meningkatkan daya saing perniagaan melalui penggunaan mesin dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos serta memastikan konsistensi kualiti produk.

Katanya, kerajaan juga mahu memupuk budaya keusahawanan melalui latihan dan perintis dalam perniagaan serta perusahaan yang sedia ada.

"Mereka akan diberi peluang jika layak dan latihan disediakan," katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan telah menyediakan peruntukan RM200 juta bagi industri pemborongan dan peruncitan serta pembelian premis perniagaan untuk disewa kepada perusahaan kecil dan sederhana bumiputera.

Artikel Berkaitan:

"Dana berjumlah RM52 juta juga disediakan untuk pelaksanaan pelbagai program keusahawanan dan latihan industri tani supaya dapat menarik golongan muda menceburkan diri dalam bidang agromakanan.

"Bagaimanapun usahawan perlu berusaha kerana rezeki tidak akan datang melayang atau bergolek kepada kita," katanya.

Menurutnya, kerajaan yakin usahawan luar bandar dapat menghasilkan produk berkualiti dan mampu bersaing di peringkat global jika mereka sentiasa mahu memperbaiki produk terbabit.