Bukan semua boleh tender terbuka: MB Perak

Ahmad Faizal menerima pokok daripada Norazizi selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Alam Sekitar Negara 2019 di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.
Ahmad Faizal menerima pokok daripada Norazizi selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Alam Sekitar Negara 2019 di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Tidak semua projek infrastruktur di negeri ini perlu dibuat tender terbuka terutama membabitkan isu keselamatan dan kerja-kerja segera.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penganugerahan sesebuah projek secara terus kepada syarikat konsesi dibuat melalui pertimbangan yang sewajarnya.

Menurutnya, pemilihan syarikat konsesi dibuat atas pelbagai faktor termasuk kemampuan dan keupayaan untuk melaksanakan tugas.

"Sebagai contoh jika ada aduan jalan berlubang, jabatan atau pihak berkuasa tempatan perlu adakan mesyuarat untuk meluluskan tetapi jika syarikat swasta mengendalikannya, mereka akan terus membaiki dengan kadar segera dalam tempoh 24 jam.

"Kawasan-kawasan membabitkan faktor keselamatan seperti kediaman menteri besar, balai polis dan sebagainya tak kan kita nak buat tender terbuka? Kem tentera tempat nak simpan peluru kita nak tenderkan? Ini merugikan kita dari segi keselamatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Alam Sekitar Negara 2019 di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Norazizi Adinan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pemberian tender terus kepada sebuah syarikat konsesi bagi menjalankan kerja-kerja di bawah bajet Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) di Perak.

Semalam, Ahmad Faizal mengakui kerajaan Perak melantik sebuah syarikat konsesi bagi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya di bawah bajet MARRIS tanpa tender terbuka.

Artikel Berkaitan:

[Artikel Penuh: https://www.sinarharian.com.my/article/52768/EDISI/Perak/Kerajaan-Perak-akui-lantik-syarikat-konsesi-tanpa-tender-terbuka]

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah banjir yang sedang berlaku di negeri ini.

Menurutnya, antara pertimbangan yang akan dibuat adalah membersih dan mendalamkan sungai-sungai sedia ada selain menyelenggara longkang-longkang yang menyebabkan berlakunya banjir.

Beliau berkata, selain faktor cuaca dan perubahan monsun, penjagaan alam sekitar juga perlu diberi perhatian dalam usaha mengatasi masalah banjir itu.

"Kita dapati musim tengkujuh sekarang ini memang akan berlaku banjir dan dari semasa ke semasa kita akan mencari jalan untuk mengurangkan masalah banjir yang boleh mengakibatkan kerosakan harta benda.

"Antara yang perlu kita lakukan adalah menyelenggara sungai dan longkang. Kita juga perlu memastikan sampah tidak dibuang ke dalam longkang dan sungai menyebabkan aliran tersumbat," katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, seperti tahun sebelumnya, belanjawan negeri 2020 yang akan dibentangkan nanti turut menyediakan peruntukan untuk memelihara dan meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar.

Katanya, jumlah peruntukan itu akan disesuaikan dengan pendapatan negeri.