Letupan masjid di Afghanistan: Angka kematian cecah 62 orang

Sukarelawan membantu seorang mangsa cedera susulan letupan bom di sebuah masjid di daerah Haska Mina, Afghanistan semalam. - Foto AFP
A
A

KABUL - Sekurang-kurangnya 62 orang jemaah dilaporkan maut susulan letupan ketika solat Jumaat di sebuah masjid di Afghanistan semalam.

Menurut jurucakap gabenor wilayah, Attaullah Khogyani, letupan yang berlaku di daerah Haska Mina, wilayah timur Nangarhar itu turut mencederakan sekurang-kurangnya 33 yang lain.

Khogyani berkata, letupan berlaku akibat bahan letupan yang diletakkan di dalam masjid namun beberapa sumber lain mengatakan bangunan tersebut berkemungkinan terkena serangan mortar.

Saksi pula berkata, bumbung masjid runtuh selepas satu letupan kuat.

Seorang penduduk tempatan, Omar Ghorzang memberitahu AFP, kira-kira 350 jemaah berada di masjid terbabit ketika kejadian.

"Berpuluh orang maut dan cedera, mereka kemudian dibawa ke hospital," kata seorang penduduk tempatan, Amanat Khan, 65.

Setakat ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab ke atas serangan maut itu namun dilaporkan militan Taliban dan Daesh aktif di wilayah tersebut. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: 17 maut letupan masjid di Afghanistan