Empat Geng 24 ditahan di pusat hiburan

Polis menahan empat individu disyaki ahli Geng 24 dalam operasi Ops Cantas di sebuah pusat hiburan di Bukit Tinggi, Klang awal pagi tadi.
A
A

KLANG - Polis menahan empat individu disyaki terlibat dalam kegiatan kongsi gelap Geng 24 dalam operasi Ops Cantas di sebuah pusat hiburan di Bukit Tinggi di sini awal pagi tadi.

Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, dalam operasi kira-kira jam 3 pagi itu pihaknya menahan enam lelaki.

"Pemeriksaan mendapati empat daripada mereka disyaki terlibat dalam pertubuhan haram Geng 24 manakala dua lagi individu adalah penjaga kaunter dan pekerja premis terbabit.

"Selain itu, polis turut merampas 35 botol minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM12,000," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Antara rampasan minuman keras dalam operasi Ops Cantas di sebuah pusat hiburan di Bukit Tinggi, Klang awal pagi tadi.
Antara rampasan minuman keras dalam operasi Ops Cantas di sebuah pusat hiburan di Bukit Tinggi, Klang awal pagi tadi.

Azmi berkata, semakan lanjut mendapati empat individu yang disyaki ahli kongsi gelap itu memiliki rekod jenayah lampau bersabit pelbagai kes antaranya kes kekerasan.

Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

"Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

"Selain itu, tindakan turut diambil ke atas premis mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 serta. Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Selangor) 1995," katanya.