Peluang kerja cukupkah?

A
A
A

ENAM puluh peratus kadar pengangguran dalam kalangan siswazah agak ramai juga.

Lebih daripada separuh graduan mungkin yang menamatkan pengajian masih belum dapat mencari kerja. Itu katanya data terbaru oleh Kementerian Pendidikan melalui Sistem Kajian Pengesanan Graduan (PKSG) 2018.

Sebenarnya apabila saya membuat carian dengan tajuk siswazah menganggur, bukan sejak tahun ini sahaja malah sejak beberapa tahun dahulu sudah wujud masalah pengangguran itu.

Rata-rata juga membuat kesimpulan ia disebabkan oleh ketidakbolehpasaran graduan yang menyebabkan menganggur.

Ada majikan yang menurut kajian memberi beberapa sebab juga kenapa siswazah itu menganggur.

Antaranya masalah komunikasi, masalah bahasa terutama bahasa Inggeris yang tidak mantap, kelakuan dan bermacam-macam lagi. Tetapi saya tertanya-tanya juga. Betulkah begitu?

Diberitakan menurut Jabatan Perangkaan Malaysia untuk suku tahun pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 orang menganggur.

Pada masa yang sama, seramai 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah mendaftar sebagai pencari kerja aktif dengan JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung.

Artikel Berkaitan:

Katakan, semua graduan yang tamat belajar itu memenuhi apa yang dikehendaki majikan iaitu tidak mempunyai masalah yang tersebut di atas, maka adakah peluang pekerjaan untuk mereka ini mencukupi? Adakah mereka akan mendapat pekerja terutama siswazah golongan B40?

Selain itu, masalah pengangguran di kalangan siswazah itu telahpun berlaku beberapa tahun juga. Dalam carian, saya merujuk kepada tajuk akhbar sahaja isu itu sudah dibangkitkan pada tahun 2016.

Menganggur

Dalam satu jurnal yang ditulis oleh sarjana bijak pandai pada tahun 2003 juga mengutarakan masalah pengangguran.

Katanya, hanya 60 peratus sehingga 70 peratus sahaja daripada 100,000 graduan diserap ke sektor pekerjaan. Selebihnya menganggur dan dijangka meningkat lagi pada tahun-tahun akan datang.

Antara permasalahan utama yang disebut ialah kekurangan peluang pekerjaan bukannya masalah kemahiran kendiri sahaja. Dengan bertambahnya graduan dari masa ke masa, maka bertambahlah peratusan yang menganggur. Nisbah permintaan dan bekal akan tidak seimbang.

Itu belum lagi, kita fokuskan kajian kepada adakah siswazah mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan? Masih belum dikaji juga. Memberi peratusan yang mendapat pekerjaan dengan peratusan mendapat pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan adalah statistik berlainan pula.

Saya beranggapan bukan ketidakbolehpasaran yang menjadi masalah utama.

Paling penting ialah adakah penawaran pekerjaan mencukupi?

Kalau graduan hebat macam mana pun tetapi peluang pekerjaan tidak mencukupi tidak ada gunanya juga. Akan terhasillah graduan yang mempunyai latar belakang jurutera tetapi menjual produk kecantikan.

Kemahiran boleh diasah. Pengalaman kerja yang menjadi keutamaan. Tanpa kerja yang sesuai, maka pengalaman tidak diperolehi pula.

Setakat pelajaran bahasa, kemahiran berkomunikasi, bukanlah menjadi isu penting. Ramai sahaja jurutera tidak mahir berbahasa Inggeris tetapi menjadi pekerja yang bagus juga.

Dengan tangga gaji yang tidak seberapa, maka kewajipan majikan untuk menghantar pekerjanya meningkatkan kemahiran kendiri yang dikehendaki. Saya pun masih lagi hadir ke seminar dan kursus untuk meningkatkan kemahiran diri.

Sudah hampir menjelang tahun 2020, isu itu masih dibincangkan diulang-ulang juga. Bentangkan statistik, buat kajian, kemudian senyap pula. Lima tahun kemudian menjelang pilihan raya, naik kerajaan baharu yang lain pula mungkin, isu ini akan bergema kembali.

Apakah solusinya tidaklah diketahui. Hanya kenyataan demi kenyataan sahaja yang dikeluarkan. Maka fokus utama ialah mencari keseimbangan menyediakan peluang pekerjaan dalam memenuhi permintaan. Penuhi manifesto yang telah dijanjikan, jika ada.

Setelah itu, baru boleh dibuat kajian pula, berapa banyak pekerjaan yang telah diisi terutama sekali pengisian jawatan yang setaraf dengan kelulusan. Kalau ramai graduan yang menganggur dan didapati melalui kajian, masih banyak pula jawatan yang setaraf tidak diisi, justeru bolehlah dibincangkan atau dibuat kajian pula akan ke tidak boleh pasaran ini pula.

Bukannya apabila siswazah menganggur, sibuk untuk fokus kemahiran kendiri sedangkan kerja pun tidak mencukupi. Di tempat saya pun ada jurutol yang mempunyai ijazah dan diploma.

Bak kata Maya Karin, fikir-fikirkanlah.