SDRS bantu rancangan pemulihan PKS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) diperluaskan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak lagi beroperasi tetapi masih berkemampuan membayar balik tanggungan hutang mereka dengan menggunakan sumber pendapatan lain.

Dalam satu kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, langkah tersebut merupakan bantuan di luar mahkamah dan intervensi terhadap PKS.

Menurutnya, skim berkenaan memberi ruang kepada PKS untuk menumpukan pada rancangan pemulihan perniagaan.

"PKS boleh menstrukturkan dan menjadualkan semula pinjaman mereka yang sedia ada dengan institusi kewangan atau pun mendapatkan bantuan penyelesaian melalui SDRS.

"Skim ini merupakan platform bagi institusi kewangan dan PKS untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian hutang dengan sewajarnya tanpa perlu melibatkan sebarang tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata, PKS juga boleh mendapat manfaat daripada Skim Pembiayaan Mikro dengan pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM50,000 daripada 10 institusi kewangan.

Menurutnya, perusahaan kecil atau mikro perlu berdaftar atau mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk layak memohon skim pembiayaan termasuk Tabung BNM.

Dalam pada itu, Bank Negara hari ini mengadakan sesi dialog bersama PKS di Pulau Langkawi membabitkan institusi kewangan, pegawai kerajaan negeri dan komuniti perniagaan tempatan yang dipengerusikan Penolong Gabenor, Adnan Mohamad Zahid.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu turut memberitahu, dialog berkenaan bertujuan mendapatkan kefahaman lebih mendalam dan maklum balas mengenai isu berkaitan pembiayaan dihadapi sektor perniagaan di sini serta tanggapan mereka mengenai akses kepada pembiayaan.

Menurutnya, wakil daripada 17 persatuan PKS dan dewan perniagaan yang hadir memberikan pandangan dan maklum balas, antara lain termasuk ketidakpastian mengenai prospek perniagaan memandangkan pendapatan banyak bergantung pada kegiatan pelancongan bermusim.

"Persatuan teksi turut memberikan maklum balas mengenai kos insurans yang tidak setara dengan risiko perniagaan di Langkawi," katanya.