Polis lengkapkan kertas siasatan kes hina agama Islam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang lelaki yang ditahan kerana disyaki menghina agama Islam di laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis menahan lelaki berkenaan selepas dia menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Selasa lepas dan lelaki berumur 63 tahun itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut kes itu termasuk melengkapkan siasatan dengan merekodkan keterangan daripada beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang membuat laporan polis berhubung perkara itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis menerima lapan laporan selepas laman sosial Facebook lelaki yang menggunakan nama ‘KT Vasagam’ itu memuatkan kenyataan yang dikatakan menghina agama Islam pada hari Isnin lepas menjadi tular.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Seberang Perai, Asisten Komisioner, Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, polis mendapat beberapa maklumat baharu yang dipercayai dapat membantu siasatan kejadian tembak membabitkan seorang pemandu jentera angkat susun sebuah kilang di hadapan sebuah apartmen di Taman Inderawasih, Perai dekat sini awal pagi 6 Oktober lepas.

Bagaimanapun beliau tidak dapat mendedah butiran maklumat kerana akan menganggu siasatan kes susulan suspek kini dipercayai berada di negara jiran.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.08 pagi itu, pemandu jentera angkat susun sebuah kilang berumur 26 tahun itu cedera parah selepas ditembak lelaki tidak dikenali dalam kejadian di hadapan sebuah apartmen di Taman Inderawasih, Perai dekat sini. - Bernama

Artikel Berkaitan: