Polis Pulau Pinang buru Geng Rantau

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menubuhkan pasukan khas bagi memburu Geng Rantau yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di negeri itu sejak awal bulan ini sehingga membabitkan kerugian RM380,000.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T.Narenasagaran berkata, pasukan khas itu sedang menjalankan risikan serta intipan dalam mengenal pasti serta mengesan anggota geng berkenaan yang dipercayai terdiri daripada warga asing yang tinggal berpindah-randah dalam hutan.

Beliau berkata, sehingga kini polis menerima enam laporan polis kes pecah rumah masing-masing tiga kes di daerah Timur Laut membabitkan kerugian RM300,000 dan daerah Barat Daya melibatkan RM80,000.

"Kegiatan jenayah geng itu dikesan berlaku daerah Timur Laut sejak awal bulan ini sebelum mereka bertukar lokasi ke daerah Barat Daya awal minggu ini dengan mensasarkan rumah-rumah mewah seperti banglo,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penerimaan tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pulau Pinang yang baharu, Senior Asisten Komisioner Zundin Mahmood daripada Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah yang bersara.

Narenasegaran berkata, modus operandi bagi enam kes itu adalah sama iaitu geng berkenaan akan memecahkan pintu bahagian belakang rumah sebelum masuk dan mengarahkan semua mangsa ke ruang tamu serta mereka akan diikat, manakala suspek terdiri daripada empat lelaki memakai topeng muka serta sarung tangan akan menggeledah rumah sebelum melarikan wang tunai serta pelbagai barangan berharga.

Beliau berkata, polis percaya ketua geng itu mempunyai pengetahuan dan sudah biasa dengan selok belok kawasan mereka melakukan pecah rumah sebelum suspek melarikan diri untuk bersembunyi selepas menjalankan kegiatan jenayah. - Bernama

Artikel Berkaitan: