Bumbung kantin SK Siol Kanan di Kuching runtuh

Struktur bangunan usang punca kantin lama sekolah itu runtuh tengah hari tadi. -Foto Bernama
Struktur bangunan usang punca kantin lama sekolah itu runtuh tengah hari tadi. -Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Bumbung kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Siol Kanan di sini runtuh kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan kerana kebanyakan murid sudah pulang awal selepas tamat sambutan Hari Sukan sekolah hari ini.

Penolong Jurutera Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching, Muhammad Ariff Adnan berkata, runtuhan dipercayai berlaku kerana terdapat kerosakan pada kerangka konkrit serta kerja-kerja pemasangan yang tidak menepati spesifikasi.

Beliau mengesahkan bahawa sebelum ini pihak sekolah memang sudah melaporkan kerosakan struktur bangunan itu kepada pihaknya sekitar awal bulan ini.

“PPD juga sudah memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri awal bulan ini mengenai situasi bangunan itu yang perlu dibaiki pada bahagian bumbung dan kerangka bangunan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) memberitahu, semasa kejadian murid telah pulang kerana hari ini adalah Hari Sukan sekolah berkenaan.

Katanya, difahamkan sebaik sahaja bumbung runtuh, pihak pengurusan sekolah terus mengambil tindakan segera mematikan sumber bekalan elektrik. - Bernama

Artikel Berkaitan: