UniSZA perintis skrol berasaskan teknologi blockchain

Seorang graduan PhD, menunjukkan cara untuk mengimbas kod di sijil PhD yang diterima beliau. -Foto UniSZA
Seorang graduan PhD, menunjukkan cara untuk mengimbas kod di sijil PhD yang diterima beliau. -Foto UniSZA
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti pertama yang akan menggunakan teknologi blockchain sepenuhnya bagi mengesahkan ketulenan kesemua skrol graduan bermula pada majlis konvokesyen universiti itu ke-11.

Pengarah Pusat Pengurusan Infostruktur Dan Rangkaian UniSZA, Dr. Mohd Khalid Awang berkata, penggunaan teknologi blockchain terhadap data skrol para graduan dapat meningkatkan kebolehpercayaan umum terhadap kesahihan skrol dan seterusnya dapat menghapuskan isu sijil palsu dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, melalui aplikasi yang dikenali sebagai myBLOCKCERTS, sebanyak 3,473 data skrol telah di encrypt dan disimpan di dalam private blockchain UniSZA yang dihubungkan kepada pelbagai nod dan lokasi bagi memastikan ianya tidak dapat digodam atau dipalsukan.

"Kelebihan dan keunikan utama menggunakan teknologi ini adalah kesemua data yang di encrypt akan terjamin dari segi kesediaan data, telus dan integriti.

"Bagi proses menentu sah (validate) pula dilakukan secara terus tanpa perlunya pihak ketiga melalui teknologi lejar teragih (distributed ledger technology).

"Oleh itu, ketulenan skrol boleh disahkan oleh sesiapa sahaja tanpa batasan masa dan geografi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mohd Khalid berkata, pengguna, majikan atau sesiapa sahaja boleh mengimbas kod QR yang unik pada skrol graduan menggunakan kamera telefon pintar atau boleh memuat turun applikasi MyBlockcerts versi iOS ataupun Android.

Katanya, hasil imbasan kod QR akan memaparkan maklumat graduan seperti nama penuh, program pengajian, tarikh graduasi dan kelas ijazah.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, aplikasi yang dibangunkan ini mempunyai beberapa ciri yang dapat meningkatkan hubungan di antara universiti, alumni dan pihak industri," katanya.

Projek asal ini telah dimulakan oleh bekas Timbalan Naib Censelor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr R. Badlishah Ahmad, ahli kumpulan penyelidik dari Fakulti Informatik dan Komputeran serta Pusat Pengurusan Infostruktur dan Rangkaian (PPIR) dengan kerjasama Interstream Sdn Bhd.

"Dengan kejayaan ini, UniSZA ingin menawarkan kepakaran teknologi blockchain dan juga kolaborasi di antara institusi pengajian tinggi atau agensi yang memerlukan khidmat penyimpanan data melalui platform blockchain UniSZA berasaskan Ethereum dan pengesahan sijil menggunakan MyBlockcerts," katanya.