Tindakan tegas anggota terlibat penyeludupan sempadan Perlis

Muhyiddin (dua dari kanan) pada sidang akhbar ketika lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin (dua dari kanan) pada sidang akhbar ketika lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Tindakan tegas akan dikenakan terhadap anggota keselamatan sekiranya didapati terlibat dalam kegiatan penyeludupan rentas sempadan yang berleluasa di kawasan Padang Besar, Perlis.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu penyeludupan dan sebagainya di sempadan negara bukan perkara baharu.

“Sekarang ini kalau ada maklumat baharu yang terkini yang disediakan oleh pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dengan gambar-gambar, video-video yang jelas dan boleh dicam oleh polis, maka kita boleh ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini semalam.

Sambil berterima kasih kepada SPRM atas pendedahan berkenaan, Muhyiddin berkata, penyeludupan merupakan satu daripada cabaran besar yang dihadapi anggota keselamatan terutamanya di pintu masuk negara memandangkan sempadan negara ini amat luas.

Beliau berkata, sehubungan itu pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai supaya siasatan serta bukti jelas berhubung penyeludupan boleh diperoleh bagi membolehkan tindakan mengikut undang-undang dapat dilaksanakan kepada mereka yang terlibat.

Ditanya adakah perlu diwujudkan pasukan petugas susulan pendedahan isu penyeludupan itu beliau berkata, ia tidak perlu memandangkan ia merupakan sebahagian tugas anggota keselamatan, namun, kementeriannya akan meneliti fakta serta data dikemukakan SPRM untuk tindakan selanjutnya.

“Kalau ada anggota terbabit, kami tidak boleh kecualikan. Undang-undang tidak mengenal sama ada pegawai atau memang penyeludup. Kalau dia bersubahat sekali pun dan ada bukti, memang kami akan ambil tindakan,” katanya.

Menurut Muhyiddin, beliau tahu ada kalanya soal logistik atau sebagainya menjadi masalah berbangkit, namun, pihaknya tidak mahu ia menjadi dalih atau sebab penguatkuasaan di sempadan tidak berkesan.

Artikel Berkaitan:

“Yang berlaku ini kadang-kadang ialah sindiket terancang. Yang penting adalah bagaimana kita nak kukuhkan organisasi,” katanya.

Hari ini, SPRM mendedahkan klip video berdurasi 11 minit berhubung kegiatan penyeludupan rentas sempadan yang berleluasa di kawasan Padang Besar.

Klip video antara 2017 hingga Mei 2019 itu antara lain menunjukkan penyeludup memotong pagar sempadan dan membawa keluar barang bersubsidi, selain anggota keselamatan kelihatan tidak mengambil tindakan walaupun berlaku di depan mata. - Bernama