[VIDEO] Badan sihat tapi selamba curi roti

Paparan video tular di media sosial.
A
A

SHAH ALAM - Video seorang lelaki dengan selamba mencuri roti dari seorang peniaga mengundang kecaman daripada netzien.

Rakaman berdurasi 54 saat itu dimuat naik di Twitter 999 Malaysia memaparkan seorang peniaga roti bermotosikal berhenti di tepi jalan untuk memulakan jualannya sekitar jam 11.30 pagi.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba seorang lelaki memakai baju berwarna merah dengan selamba mencuri beberapa bungkus roti tanpa membayar dan terus berlalu pergi.

Perbuatan itu disedari oleh peniaga yang kemudiannya menahan lelaki tersebut daripada mengambil roti, namun malangnya, dia pula ditumbuk di bahagian dada.

Kekecohan itu mendapat perhatian orang ramai yang lalu lalang di kawasan tersebut dan akhirnya lelaki berkenaan terus beredar tanpa rasa bersalah dengan menaiki motosikal bersama rakannya.

Rata-rata netizen menyifatkan lelaki itu seorang yang biadab dan tidak berperikemanusiaan.

"Rasanya lebih pada biadab, mengetahui orang tua tak boleh apa-apakan dia, penjenayah semakin berani," tulis @Ainaza Arizie.

Kata @Myazkfhhh, "Badan sihat, pergilah cari kerja bukan mencuri, tunjuk samseng. Esok dah ke dalam (lokap), tahu pula nak menangis, merayu bagai."

Sementara itu, @sarah beranggapan lelaki itu sudah tiada perasaan malu hingga mencuri tanpa rasa bersalah.