19 anggota polis antara 57 individu didakwa miliki dadah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 57 individu termasuk 19 anggota polis dan seorang Penolong Pendaftar Mahkamah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan bersama-sama memiliki tiga jenis dadah iaitu ecstasy (MDMA), ketamine dan methamphetamine Isnin lalu.

Kesemua mereka terdiri daripada 20 wanita dan 37 lelaki berumur antara 18 dan 48 tahun.

Dalam prosiding itu, hanya seorang daripada mereka iaitu lelaki berusia 37 tahun mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selebihnya mengaku tidak bersalah.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki dua peket hitam kecil mengandungi dadah jenis ecstasy (MDMA) seberat 29.5 gram di sebuah kelab hiburan di Jalan Raja Chulan di sini pada 1.15 pagi 14 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan sehingga sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka bersama-sama didakwa memiliki dadah jenis ketamine seberat 9.65 gram dan methamphetamine seberat 3.3 gram di lokasi dan masa sama mengikut Seksyen 12(2) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta serupa dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rajdeep Singh menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Majistret, M. Saravanan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 29 November untuk sebutan kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: