Kimono moden sentuhan Nik Erwan

KIMONO jenama Nawre rona jingga tampak anggun dipadakan bersama blaus polka dot dan seluar biru gelap.
KIMONO jenama Nawre rona jingga tampak anggun dipadakan bersama blaus polka dot dan seluar biru gelap.
A
A
A

NIK ERWAN NIK ROSELI antara pereka fesyen tempatan yang mengetengahkan kimono dalam rekaan moden dan sofistikated.

Inisiatif itu dilaksanakan selepas mendapati trend fesyen pakaian berkenaan semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta fesyen tempatan khususnya.

Jika dihitung, hampir tiga tahun berturut-turut anak kelahiran Selangor itu mempertaruhkan koleksi kimono yang boleh digayakan sama ada golongan wanita ataupun jejaka.

Didatangkan dengan tali pada bahagian pinggang, ia memudahkan pemakai melaras kelonggaran mengikut bentuk badan masing-masing.

Menurut Nik Erwan yang merupakan Pengasas Nawre, ironinya pada zaman moden ini, kimono potongan pendek antara paha ke betis mendapat permintaan tinggi berbanding kimono labuh mencecah buku lali.

"Ini disebabkan, potongan pendek lebih praktikal, memudahkan pergerakan dan tampak moden apabila disuai padan bersama item fesyen ataupun pelengkap gaya lain.

"Justeru, melihat fenomena wanita kini yang semakin selesa menyarungkan kimono konsep pendek dan moden telah merangsang sebahagian besar pereka terlibat dalam Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019 (KLFW 2019) mengetengahkan busana ala kimono," jelas beliau yang pernah memenangi tempat kedua Pertandingan Batik Muslimah Piala Seri Iman di Terengganu pada tahun 2010.

Persoalannya, mengapa kimono pula menjadi pilihan Nik Erwan, walhal item fesyen seperti kardigan dan jaket juga sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam industri fesyen tempatan?

Artikel Berkaitan:

Ikuti penjelasan eksklusif beliau dengan wartawan Femina, IZYAN LIYANA MOHD DARIF mengenai koleksi kimono yang dikeluarkan di bawah jenama, Nawre.

1 Mengapa koleksi kimono menjadi signatur utama jenama Nawre?

NIK ERWAN: Item fesyen (kimono) ini menjadi pilihan susulan stail pemakaian saya sendiri. Sebelum ini, saya lebih selesa memakai vest formal sebagai pengganti jaket ataupun kot. Ringkasnya, vest adalah sejenis pakaian luar yang tidak mempunyai lengan dan ideal dipadankan bersama seluar dan kemeja atau baju-T.

Tambahan pula, saya meminati setiap elemen rekaan dan gaya yang diterapkan pada helaian busana masyarakat Jepun terutamanya kimono.

Justeru, bertitik-tolak daripada itu, maka tercetusnya idea menghasilkan sekali gus memasarkan kimono dalam kalangan pencinta fesyen moden kini.

Ia berikutan kimono bersifat universal membantu menyuntik penampilan stailo, menawan, segak dan ringkas untuk para wanita dan jejaka baik untuk menghadiri acara formal mahupun bersantai.

Lagipun matlamat saya, mahu menawarkan kepelbagaian koleksi pakaian luar di dalam industri fesyen tempatan.

2 Adakah kecintaan terhadap fesyen masyarakat Jepun ini lahir selepas menjejakkan kaki ke negara Matahari Terbit berkenaan?

Sejujurnya, saya belum berpeluang berkunjung ke Jepun dek kekangan masa dan kepadatan jadual, tetapi negara berkenaan antara destinasi yang berada dalam senarai impian saya.

Secara peribadi, Jepun bukan sahaja sebuah negara indah, malah memiliki keunikan bermula daripada budaya, pakaian tradisional sehingga fesyen jalanan yang sentiasa up-to-date (terkini).

Buktinya, lihat sahaja komitmen dan inisiatif pereka Jepun mengolah kimono dalam versi moden. Secara tersiratnya, jelas menampakkan bahawa mereka ingin memastikan koleksi kimono tidak ditelan zaman dan sentiasa menjadi pilihan ramai khususnya generasi muda.

Ini bermakna, mesej yang cuba disampaikan sangat jelas dan memberikan impak positif meskipun melalui medium pakaian.

Perkara yang sama saya pelajari ketika menyambung pengajian peringkat Master Teknologi Rekaan. Kami sentiasa diingatkan supaya setiap rekaan yang dicipta perlu mempunyai objektif dan misi kukuh supaya pakaian dihasilkan bukan cantik semata-mata, tetapi berkualiti.

3 Di manakah lokasi ideal untuk wanita menggayakan kimono?

Memandangkan rekaan kimono berpotongan longgar dan sopan, maka secara praktikal ia sesuai dipakai pada apa jua acara dan lokasi.

Selain bersantai, item fesyen tersebut juga anggun dan sofistikated digayakan ke pejabat, majlis makan malam, acara fesyen, melancong dan menghadiri kelas kuliah.

4 Jika diperhatikan, industri fesyen tempatan berdepan dengan lambakan koleksi kimono pelbagai jenama. Justeru, apakah yang membezakan rekaan kimono Nawre dengan label lain?

Jenama Nawre masih mengekalkan rekaan asas kimono seperti potongan yang longgar dan bertali pada bahagian pinggang. Bagaimanapun, keunikan kimono Nawre adalah terletak pada cara penggayaan.

Dengan menyarungkan kimono Nawre, golongan wanita berpeluang menggayakan enam stail seolah-olah mereka membeli enam helai baju yang berbeza. Cara pengolahan gaya juga bergantung pada kreativiti individu itu sendiri.

Bertambah menarik, wanita juga boleh mempraktikkan konsep suai dan padan dengan item fesyen pilihan. Antaranya, memadankan kimono bersama baju-T (turtle neck), dres tanpa lengan, seluar jean, skirt dan baju kurung.

Teknik ikatan pada bahagian pinggang kimono pun terpulang pada cita rasa dan keselesaan si pemakai. Asalkan, bersesuaian dengan lokasi dan acara yang dihadiri.

5 Dari segi pemilihan material pula, apakah jenis fabrik yang menjadi keutamaan?

Bagi memastikan kimono Nawre terletak cantik dan kemas ketika menyarungkannya, saya turut menitikberatkan aspek keselesaan. Mengambil kira faktor cuaca panas dan lembap sepanjang tahun di negara ini saya memilih kain jenis neo prene atau scuba.

Fabrik berkenaan bukan sahaja ringan, malah tidak perlu digosok, tidak panas dan mempunyai pengaliran udaran yang baik.

6 Jika diperhatikan koleksi kimono pendek Nawre banyak bermain dengan warna gelap. Mengapa?

Sebahagian besar kimono saya hadir dalam nuansa hitam kerana rona tersebut sesuai dipadankan dengan item fesyen, hijab, aksesori dan pelengkap gaya berlainan warna.

Namun begitu, saya turut menawarkan kimono kombinasi warna hitam dan putih serta jingga, coklat, merah hati, ungu gelap dan biru gelap.

KIMONO karya Nik Erwan juga ideal digayakan wanita berhijab.
KIMONO karya Nik Erwan juga ideal digayakan wanita berhijab.

7 Adakah item fesyen ini sesuai digayakan wanita berhijab?

Semestinya ya! Ini disebabkan, panjang lengan, labuh dan potongannya secara keseluruhannya longgar supaya tidak mengikut bentuk badan.

Golongan berhijab akan tampak moden dan sopan apabila disuai padan bersama skirt, jean atau palazo termasuk lilitan tudung yang stailo.

ANEKDOT

Nama penuh: Nik Erwan Nik Roseli

Umur: 35 tahun

Asal: Selangor

Adik-beradik: 2 daripada 5 beradik

Pendidikan: Diploma Seni Reka Grafik dan Media Digital

Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen

Master Teknologi Rekaan

Kerjaya: Pereka Fesyen

Hobi: Menonton wayang

Instagram: @nawreofficial

NIK ERWAN (tengah, bertopi) antara pereka yang aktif mengetengahkan kimono potongan moden.
NIK ERWAN (tengah, bertopi) antara pereka yang aktif mengetengahkan kimono potongan moden.