Lebih 300 kes pemberhentian tidak adil di Perak

Sivanesan (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat mengenai Pemindahan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Sivanesan (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat mengenai Pemindahan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
A
A
A

IPOH - Sekurang-kurangnya 300 kes berkaitan pemberhentian secara tidak adil telah dilaporkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini di Perak.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) negeri, Mohd Majdhan Bek Abd Wahif berkata, sebahagian besar kes berkenaan melibatkan sektor perkilangan.

Bagaimanapun menurutnya, lebih 40 peratus daripada kes itu berjaya diselesaikan secara rundingan tanpa membabitkan Mahkamah Perusahaan.

"Berdasarkan statistik semasa, jumlah kes difailkan ini agak tinggi namun masih dalam keadaan munasabah berdasarkan situasi kerja di negeri ini yang tidak mempunyai banyak kawasan industri.

"Jabatan kini dalam tindakan bagi menyelesaikan baki kes dengan sebahagiannya telah dihantar ke peringkat menteri untuk budi bicara sama ada perlu dirujuk ke mahkamah atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat mengenai Pemindahan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan itu turut dihadiri Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Sementara itu Sivanesan berkata, keputusan meminda Akta Perhubungan Perusahaan 1967 itu lebih banyak memberi kelebihan kepada pekerja.

Artikel Berkaitan:

"Satu daripadanya di bawah Seksyen 20 yang mana pekerja dibuang pekerjaan hanya perlu merujuk kepada Mahkamah Perusahaan tanpa perlu melalui proses rundingan di JPP dan budi bicara menteri.

"Pindaan akta ini perlu disokong kerana secara lebih menguntungkan pekerja baik dari sektor awam mahupun swasta," katanya.

Rang undang-undang pindaan akta berkenaan telah mendapat persetujuan Dewan Rakyat dan kini dalam proses kelulusan Dewan Negara.