Doktor pukul bekas isteri, bapa mentua disahkan waras

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Doktor yang didakwa memukul bekas isteri dan bapa mentuanya September lalu berada dalam keadaan waras, mengikut laporan kesihatan daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Bagaimanapun, tertuduh, Syed Ariff Syed Abdul yang hadir di kamar Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini membuat pengakuan tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan.

Mengikut laporan perubatan itu juga, tertuduh menyedari melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang.

Dokumen itu diperoleh selepas tertuduh diarahkan menjalani pemeriksaan selama sebulan selepas perintah dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail ketika perbicaraan 20 September lalu.

Melalui laporan yang dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah, tertuduh menghidap 'bipolar disorder' (kecelaruan efektif).

Laporan itu juga memaklumkan ketika kejadian tertuduh dalam keadaan sedar dan mengetahui perbuatan tersebut salah di sisi undang-undang dan tertuduh mampu hadir ke mahkamah untuk membela dirinya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian kiri atas kepala bekas isterinya, Siti Nur Hidayah Abd Rahim, 34, dengan menggunakan telefon bimbit.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di hadapan MJ Auto (U5) Sdn Bhd Jalan Utarid U5/24 pada jam 12.15 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan kedua, Syed Ariff didakwa mendatangkan kecederaan di dahi Abdul Rahim Hashim, 65, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh boleh dihukum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan wang jaminan tetapi peguam tertuduh, Adenan Ismail memohon wang jaminan terhadap kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 bagi pertuduhan pertama dengan seorang penjamin dan RM4,000 bagi pertuduhan kedua.

Mohd Sabri juga menetapkan syarat supaya tertuduh hadir ke balai polis berdekatan setiap bulan, tidak menghampiri saksi dan mangsa sebagai syarat sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor pukul bekas isteri, mentua diarah jalani pemeriksaan psikiatri