Henti cemari tahun baharu dengan aktiviti tak bermoral

RUHANI
RUHANI
A
A
A
SABAN tahun kes-kes melibatkan tangkapan maksiat, dadah dan pesta mabuk malam tahun baharu pastinya menjadi antara paparan tajuk berita di akhbar-akhbar utama di negara ini.

Kehadiran tahun baharu yang sepatutnya disambut dengan penuh keinsafan serta disusuli dengan semangat yang baharu itu, bertukar sebaliknya apabila sering dicemari dengan aktiviti tidak bermoral.

Lebih menyedihkan, golongan yang terlibat dengan kegiatan sedemikian terdiri daripada generasi muda Islam yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

Bukan tiada usaha yang diambil, malah tindakan yang dikenakan dan turut dilaporkan oleh pelbagai media cetak dan elektronik nyata tidak sesekali memberi keinsafan.

Buktinya, setiap tahun tangkapan yang dilakukan pihak berkuasa melalui operasi 'malam tahun baharu' seluruh negara sentiasa menunjukkan peningkatan dan angkanya amat menakutkan.

Pensyarah Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Ruhani Mat Min menggariskan tiga perkara asas utama yang perlu diperkukuhkan dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak melibatkan generasi muda hari ini.

Katanya, tiga perkara utama yang perlu diperkukuhkan kembali itu melibatkan sistem kekeluargaan, masyarakat dan juga pendidikan.

"Antara punca kepada keruntuhan akhlak melibatkan generasi muda hari ini adalah disebabkan ketiga-tiga sistem yang menjadi tonggak utama itu semakin lemah.

"Malah, kita juga sedia maklum masalah sosial yang semakin membimbangkan ini bukan perkara baharu, tetapi telah lama berlaku.
Artikel Berkaitan:


"Bukan tidak ada usaha diambil untuk mengekang gejala negatif itu, tetapi ia bagaikan tidak memberi keinsafan, sebaliknya angka mereka yang melakukan kesalahan berkenaan semakin bertambah,"katanya.

Menurut Ruhani lagi, sudah tiba masanya pihak berkaitan melihat masalah keruntuhan moral golongan belia di negara ini dengan lebih mendalam serta menilai kembali tiga asas utama penting itu.

"Sistem kekeluargaan yang menjadi tunjang utama kepada pembentukan keluarga yang sihat perlu dipulihkan kembali.

"Didikan agama yang mencukupi, selain ibu dan bapa perlu memberikan contoh dan teladan terbaik.

"Bagaimanapun kita harus akui kesibukan ibu bapa dalam mencari rezeki untuk kestabilan ekonomi keluarga membuatkan mereka tidak mempunyai masa yang banyak untuk bersama anak-anak dan memantau mereka.

"Justeru, usaha untuk memulihkan kembali moral generasi muda hari ini dan juga pada masa akan datang memerlukan sokongan padu daripada semua pihak,"katanya.

Jelasnya lagi, pembangunan jati diri dan memupuk akhlak mulia dalam kalangan generasi hari ini yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang haruslah segera dilaksanakan secara menyeluruh.