Pak guard diikat, dipukul 10 penyamun

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan oleh polis petang semalam.
A
A

KLANG - Dua pengawal keselamatan bukan sahaja diikat, malah salah seorang daripadanya turut dipukul sekumpulan jenayah dengan besi sehingga menyebabkan kecederaan dalam kejadian samun di sebuah kilang membuat plastik di Kapar, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kesemua suspek dianggarkan lebih daripada 10 individu dan merupakan warga tempatan.

"Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, suspek bertindak membawa lari beberapa komponen mesin antaranya lima mesin pemotong plastik, segulung kabel tembaga, lima gulung wayar elektrik.

"Selain itu, suspek turut membawa lari kipas angin, mesin welding (kimpalan), mesin grinder (penggiling), spanar dan dua telefon bimbit.

"Kesemua barangan ini dibawa lari menggunakan sebuah lori berwarna merah. Anggaran kerugian lebih daripada RM10,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di sini hari ini.

Polis menunjukkan antara barangan dirampas petang semalam.
Polis menunjukkan antara barangan dirampas petang semalam.

Beliau berkata, polis kemudiannya berjaya menangkap enam suspek kes terbabit dalam dua tangkapan berasingan di sekitar Klang Utara kira-kira jam 3.30 petang semalam.

"Dalam serbuan dijalankan, polis merampas kesemua barangan dicuri bersama dua buah lori. Salah sebuah lori adalah milik salah seorang suspek.

"Semakan dijalankan mendapati empat daripada enam suspek yang ditangkap mempunyai rekod lampu membabitkan jenayah dan dadah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini giat memburu saki-baki suspek yang disyaki terbabit dalam kes samun petang semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.