X

Kindly register in order to view this article
!

Ragbi Piala Agong: Perjalanan Terengganu masih panjang

Antara aksi menarik dipamerkan pemain Terengganu dan Johor pada saingan Liga Premier Ragbi Piala Agong baru-baru ini. - Foto Persatuan Ragbi Negeri Terengganu
A
A

TERENGGANU diingatkan supaya tidak berasa selesa menjelang pertemuan menentang Kelantan, Sabtu ini walaupun memperoleh dua keputusan positif sebelum ini pada saingan Liga Premier Ragbi Piala Agong.

Pengendali Terengganu, Izaimi Zainuddin berkata, beliau gembira pemain-pemainnya dapat menyesuaikan diri dengan taktikal dirancang pada dua perlawanan terdahulu.

Namun pada masa sama beliau mahu pemain Terengganu berwaspada dan tidak mengambil mudah cabaran Kelantan pada derbi pantai timur itu.

"Saya mengharapkan pemain-pemain Terengganu tidak mengambil mudah cabaran Kelantan walaupun lawan dibarisi kebanyakan pemain remaja tempatan tanpa kelibat pemain import.

"Sebaliknya kita perlu mengekalkan rentak permainan dirancang dan pada masa sama memperbaiki lagi kelemahan ketika menyerang mahupun ketika bertahan untuk perlawanan seterusnya," katanya yang mengendali Terengganu ke saingan Piala Agong sejak 2017.

Gergasi ragbi pantai timur itu sebelum ini menyingkap tirai kempen Liga Premier Ragbi Piala Agong dengan langkah kanan apabila melakar kemenangan 36-25 ke atas Johor sebelum membelasah Kedah 118-0 dan dijadualkan melayan kunjungan Kelantan di Stadium Mini Kompleks Sukan Gong Badak.

Mengenai keputusan positif pada dua aksi awal, Izaimi mengakui Johor yang dibarisi pemain tempatan bersemangat tinggi dan pemain import berkualiti nyata memberi saingan sengit kepada Terengganu.

Namun katanya, skuad kendaliannya itu yang dibarisi pemain tempatan berpengalaman dan pemain import yang pernah beraksi pada peringkat antarabangsa berjaya menterjemahkan taktikalnya dalam bentuk kemenangan.

"Kejayaan besar menentang Kedah pula adalah hasil usaha pemain-pemain mengekalkan rentak permainan sebenar sehingga wisel penamat.

"Pemain-pemain juga berjaya mempraktikkan taktikal yang dirancang sebelum perlawanan dengan mudah," katanya.