Hujan lebat, sampah punca banjir di Taman Seri Muda

Ganabatirau ketika meninjau keadaan di Stesen Pam dan Kolam Takungan Banjir Taman Seri Muda malam tadi. - Foto FB Ganabatirau Veraman
Ganabatirau ketika meninjau keadaan di Stesen Pam dan Kolam Takungan Banjir Taman Seri Muda malam tadi. - Foto FB Ganabatirau Veraman
A
A
A

SHAH ALAM - Hujan lebat dan longgokan sampah yang menyekat laluan aliran air menjadi punca Taman Seri Muda Seksyen 25 di sini banjir.

Difahamkan kejadian itu turut menyebabkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Muda 2 terpaksa ditutup pagi ini kerana air masih belum surut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau turut meninjau keadaan di lokasi banjir kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Menurutnya, hampir sebahagian besar perumahan dan kawasan komersial di Taman Seri Muda dinaiki air termasuk Taman Desa Kemuning di Seksyen 34.

"Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan taburan hujan semalam melebihi 150 milimeter (mm).

"Selain hujan lebat saya diberitahu aliran air longkang dari kawasan perumahan ke kolam takungan bergerak perlahan akibat dipenuhi sampah.

Jentera terpaksa digunakan bagi mengeluarkan sampah yang tersangkut di kunci air kolam tadahan Taman Seri Muda. - Foto FB Ganabatirau Veraman (Makluman mengenai cuti sekolah akibat banjir.)
Jentera terpaksa digunakan bagi mengeluarkan sampah yang tersangkut di kunci air kolam tadahan Taman Seri Muda. - Foto FB Ganabatirau Veraman (Makluman mengenai cuti sekolah akibat banjir.)

"Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membantu mengeluarkan sampah menggunakan jentera di hadapan muka sauk Stesen Pam dan Kolam Takungan Banjir, Taman Seri Muda," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Ganabatirau berkata, sistem perparitan lama berusia lebih 30 tahun turut menjadi punca banjir.

Katanya, laluan ke stesen pam berkenaan terpaksa ditutup berikutan berlaku perselisihan faham antara penduduk dengan kontraktor pembersihan malam tadi.

"Wakil pihak MBSA turut meninjau kawasan banjir dan kita harap ada tindakan susulan termasuk mengkaji projek jangka panjang bagi mengelak banjir berulang," katanya.

Mengulas kemarahan penduduk yang mendakwa pintu kunci air tidak dibuka menjadi punca banjir berlaku di kawasan itu, Ganabatirau berkata, tindakan itu tidak dilaksanakan JPS kerana sebab tertentu.

"Air Sungai Klang semalam naik mendadak dan melepasi benteng. Jika pintu kunci air dibuka juga semua penduduk di Taman Sri Muda perlu menggunakan sampan kerana paras air sungai terlalu tinggi.

"Ketika ini JPS guna kaedah mengepam air dari kolam takungan ke Sungai Klang untuk surutkan air," katanya.