Patuhi perintah bayar nafkah, ia dianggap hutang jika ingkar

SEORANG suami dan bapa bertanggungjawab memberi nafkah terhadap isteri dan anak masing-masing.
SEORANG suami dan bapa bertanggungjawab memberi nafkah terhadap isteri dan anak masing-masing.
A
A
A

ISLAM telah menetapkan tanggungjawab memberi nafkah terhadap isteri dan anak adalah di bawah tanggungjawab suami dan bapa. Sekiranya berlaku penceraian antara suami dan isteri, tanggungjawab memberi nafkah terhadap anak tetap menjadi tanggungjawab kepada seorang bapa dan tidak akan putus dengan sebab penceraian.

Walaupun begitu, isu pengabaian nafkah anak masih berlegar dalam masyarakat. Ramai para suami masih culas melaksanakan perintah nafkah anak sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah.

Pihak yang menerima perintah nafkah juga tidak mengetahui hak mereka sekiranya perintah nafkah tidak dipatuhi. Justeru ramai ibu tunggal yang teraniaya kerana tidak mengetahui bahawa mereka boleh hadir ke mahkamah untuk memohon agar perintah nafkah tersebut dikuatkuasakan sekiranya si suami atau bekas suami gagal patuh kepada perintah berkenaan oleh Mahkamah Syariah.

Tanpa mengira keberadaan anak sama ada dalam jagaan bapa, ibu atau dalam jagaan orang ketiga, seorang bapa berkewajipan menanggung nafkah anak tersebut. Namun begitu, pada saat seorang bapa tidak berupaya menanggung nafkah anaknya, tanggungjawab tersebut akan diserahkan kepada orang yang 'bertanggungan' sebagaimana yang di sebut dalam Seksyen 73 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor.

Berdasarkan kepada peruntukkan tersebut, mahkamah boleh memerintahkan mana-mana 'orang yang bertanggungan' tentang hal itu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada orang lain jika bapa tersebut tidak berupaya sepenuhnya atau sebahagiannya daripada mencari kehidupan kerana kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan dalam masa yang sama, pihak mahkamah berpuas hati setelah menilai dan mengambil kira kemampuan orang yang pertama tersebut itu adalah munasabah untuk pihak mahkamah mengeluarkan perintah sedemikian.

No Image Caption

'Orang yang bertanggungan' yang dimaksudkan dalam peruntukkan tersebut ialah datuk mereka (bapa kepada bapa) dan kemudian orang-orang yang selepasnya. Arahan Amalan Mahkamah Syariah no14 Tahun 2007 bertajuk 'Susunan Waris Yang Bertanggungan Membayar Nafkah' menyatakan, maksud 'orang yang bertanggungan' ialah ‘ahli waris’ sebagaimana yang diperuntukkan syarak dan seperti juga yang dinyatakan dalam seksyen 61, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Artikel Berkaitan:

Ini bermakna, waris-waris daripada keluarga lelaki yang mempunyai hubungan darah dengan pihak yang mati dan tidak diselangi oleh perempuan iaitu bapa, bapa kepada bapa, anak lelaki atau anak lelaki kepada anak lelaki (cucu lelaki), saudara lelaki seibu sebapa dan saudara lelaki sebapa.

Selain itu, pihak pemerintah juga boleh memainkan peranan dan memastikan tanggungan nafkah anak-anak yang ketiadaan bapa dan ahli waris dibiayai oleh baitulmal yang mana ia merupakan tempat terakhir untuk membantu mereka.

Dengan itu, kebajikan mereka akan terjamin dan melepaskan diri mereka daripada kesempitan hidup, selari dengan pendekatan maqasid al-syariah dalam memastikan nafkah anak tidak terabai.

Perintah nafkah perlu dilaksanakan

Walau siapapun yang harus melaksanakan tanggungjawab memberi nafkah, perlu diingat bahawa apabila mahkamah telah memerintahkan seseorang untuk menanggung nafkah anak, ia mesti dilaksanakan.

Apabila perintah tersebut tidak dipatuhi dan pembayaran tidak dilaksanakan, maka ia akan dianggap sebagai hutang. Hutang tersebut harus dibayar walaupun selepas orang yang berhutang berkenaan meninggal dunia.

Justeru, apabila berlaku ketidakpatuhan terhadap perintah nafkah yang telah dikeluarkan oleh mahkamah, tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah perlu dimulakan bagi memastikan kepatuhan dapat dikembalikan.

PEMBAYARAN nafkah perlu dilaksanakan dan jika tidak dipatuhi, ia akan dianggap sebagai hutang.
PEMBAYARAN nafkah perlu dilaksanakan dan jika tidak dipatuhi, ia akan dianggap sebagai hutang.

Berdasarkan peruntukkan undang-undang, mahkamah boleh mengambil tindakan berikut sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap perintah nafkah:

(a) Mengarahkan pihak penghutang membayar keseluruhan jumlah nafkah semasa atau membayar jumlah tunggakan nafkah berdasarkan perintah dan mengikut cara yang ditentukan oleh mahkamah sama ada membayar secara sekali gus atau ansuran bulanan; atau

(b) Mengeluarkan perintah penahanan pendapatan atau potongan gaji bagi yang berpendapatan tetap dengan mengarahkan bayaran terus ke dalam akaun bank anak-anak atau isteri; atau

(c) Mengenakan hukuman penjara ke atas pihak yang sengaja tidak mematuhi perintah nafkah tersebut; atau

(d) Perintah penyitaan dan penjualan; atau

(e) Prosiding hiwalah.

Walau apapun peruntukan tersebut, pihak yang diabaikan perlu hadir mengadu mengenai pengabaian tersebut supaya tindakan penguatkuasaan dapat dimulakan.

Peruntukkan mengenai tanggungjawab untuk membayar nafkah secara jelas telah diperuntukkan melalui peruntukkan undang-undang. Begitu juga sekiranya berlaku pengabaian atau ketidakpatuhan terhadap perintah nafkah.

Walaupun undang-undang telah memperuntukkan sedemikian rupa, bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pengabaian perintah nafkah, namun ia tidak akan terlaksana tanpa maklumat dan pengaduan daripada pihak yang diabaikan.

Justeru, bagi membolehkan isu pengabaian perintah diselesaikan, pihak yang diabaikan perlu tampil ke hadapan untuk memulakan tindakan.

Tanpa adanya laporan atau aduan, pihak yang bertanggungjawab tidak dapat memulakan tindakan terhadap bapa atau suami atau 'orang yang bertanggungan' yang mengabaikan perintah nafkah.