'Bernyawa namun terlantar kaku'

Mat Nasir yang lumpur selepas sedar dari koma akibat kemalangan pada Jun lalu. Tiong Lam dan ahli kelab menziarahi Mat Nasir yang terlantar sambil diperhatikan Zuraida (empat, kiri) bersama enam anak pasangan itu.
Mat Nasir yang lumpur selepas sedar dari koma akibat kemalangan pada Jun lalu. Tiong Lam dan ahli kelab menziarahi Mat Nasir yang terlantar sambil diperhatikan Zuraida (empat, kiri) bersama enam anak pasangan itu.
A
A
A

TUMPAT - Bernyawa namun terlantar kaku dengan hanya biji mata yang mampu digerakkan ke kiri dan kanan.

Keadaan itu menimpa bekas buruh kasar, Mat Nasir Mat Salleh, 41, yang lumpuh sepenuh badan selepas sedar dari koma selama dua bulan akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jejambat Jambatan Sultan Yahya Petra 2, berhampiran pasar raya KB Mall Kota Bharu pada 11 Jun lalu.

Sejak itu, Mat Nasir hanya terbaring di sebuah katil di ruang tamu rumah ibu bapa mentuanya di Kampung Tujoh di sini.

Isterinya, Zuraida Abd Latiff, 39, berkata, kadang kala bapa kepada enam anak itu secara tiba-tiba mengalirkan air mata tatkala menatap wajah anak-anak mereka yang masih memerlukan perhatian dan kasih sayang dari bapa mereka itu.

Anak mereka, Muhammad Faiz, 18; Muhammad Amirul Aizat, 17; Muhammad Arif Najmi,14; Muhammad Amir Aiman, 13; Muhammad Aqil Iqbal, 4, dan Muhammad Fitri Iman, 4 bulan.

Tiong Lam (dua dari kanan), Zuraida dan enam anak mereka melihat keadaan Mat Nasir yang terlantar di atas sebuah katil di ruang tamu rumah.
Tiong Lam (dua dari kanan), Zuraida dan enam anak mereka melihat keadaan Mat Nasir yang terlantar di atas sebuah katil di ruang tamu rumah.

Luahnya lagi, akibat kemalangan itu juga, kehidupan mereka tujuh beranak mula berubah dari susah kepada keadaan yang semakin dihimpit kesempitan hidup sejak empat bulan.

“Sebelum ini suami bekerja membuat rumah batu dengan upaya RM300 hingga RM350 seminggu namun selepas kemalangan tersebut menyebabkan suami hilang upaya untuk bekerja manakala saya pula hanya suri rumah sepenuh masa.

Artikel Berkaitan:

"Suami bakal dapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan yang akan masuk bermula hujung bulan ini.

“Saya pula baru sahaja lepas habis berpantang anak bongsu kami dan kini perlu menggalas tugas ketua keluarga sepenuhnya bagi menjaga anak-anak yang bersekolah dan masih kecil,” katanya ketika ditemui dalam kunjungan Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) di rumah mereka di Kampung Tujoh di sini semalam.

Hadir sama Presidennya Pui Tiong Lam yang menyampaikan sumbangan barangan makanan dan lampin pakai buang.

Zuraida berkata, dia buntu memikirkan perbelanjaan seharian mereka lebih-lebih lagi tiga anaknya yang bersekolah dan ditambah dengan beban kos belanja rawatan terhadap Mat Nasir seperti susu dan lampin pakai buang.

“Anak sulung baharu saja selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan membantu menjaga bapanya itu, anak bongsu pula juga minum susu formula jadi saya memerlukan wang untuk kos susu anak dan suami pada setiap bulan.

“Setiap bulan perlu belanja sewa van RM100 untuk menghantar suami ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk pemeriksaan dan rawatan. Kami seramai empat orang akan usung dia menggunakan kain untuk dibawa masuk ke dalam van untuk ke hospital,” katanya.

Bantuan kepada keluarga ini boleh disalurkan ke akaun BSN Zuraida Abd Latiff 0399541100128138 atau hubunginya di talian 013-7833709.

Sementara itu, Tiong Lam berkata, KKCK akan berusaha membantu keluarga berkenaan dengan mendapatkan pengusung untuk memudahkan mengangkat Mat Nasir bagi tujuan mandi atau dibawa ke dalam van untuk hospital.

“Kami akan membantu dengan membekalkan lampai pakai buang dan beras kepada keluarga ini pada setiap bulan selain akan mencari penyumbang untuk menampung kos pembiayaan susu khas kepada Mat Nasir.

“Kami mendapati keadaannya perlu dibantu dan keluarga juga perlu sentiasa menjaga kebersihan Mat Nasir yang terlantar serta memberinya minum susu melalui tiub yang ditebuk pada leher,” katanya.