Perlu bezakan penganut syiah dan yang promosi syiah

Mujahid
Mujahid
A
A
A

PUTRAJAYA - "Satu garis panduan perlu diwujudkan bagi membezakan antara penganut Syiah dan mereka yang mempromosikan fahaman itu," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata walaupun ajaran Syiah difatwakan sebagai haram, tetapi garis panduan itu perlu bagi membezakan hukuman atau tindakan terhadap mereka yang hanya menganut dan mereka yang menganut serta mempromosikan ajaran itu kepada orang lain.

"Ada dua perkara tentang isu Syiah. Yang pertama ialah semua amalan Syiah dianggap sesat dan yang kedua, fatwa mengatakan amalan Islam di Malaysia adalah mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jika mengamalkan selain Ahli Sunnah itu boleh dianggap bercanggah dengan fatwa ini.

“Cuma kita kena jelas di situ. Adakah kerana hanya menjadi Syiah kita boleh mengambil tindakan atau dia menjadi Syiah dan dia mempromosikan Syiah ... itu dua perkara yang berbeza,” katanya kepada media selepas menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang berkata fatwa yang menetapkan Syiah sebagai ajaran menyimpang daripada Islam boleh disemak semula berdasarkan beberapa hujah selepas mengambil kira dengan fahaman Ahli Sunnah.

Mujahid berkata garis panduan itu perlu ditentukan bagi menjunjung kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau juga berkata kuasa untuk menyemak semula fatwa yang menetapkan Syiah sebagai ajaran menyimpang terletak di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Menurutnya, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan kebebasan beragama di negara ini namun ia tertakluk kepada Perkara 11(4) untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang menganuti agama Islam. –Bernama

Artikel Berkaitan: