'Harap ALLAH beri keajaiban untuk kedua anak saya'

Farah Idayu bersama tiga anaknya.
Farah Idayu bersama tiga anaknya.
A
A
A

SEREMBAN – "Saya berharap satu keajaiban agar ALLAH panjangkan umur anak saya dan sembuhkan mereka," kata Farah Idayu Mohd Shah, 29, selepas kisah dua daripada tiga anaknya, Nurfatihah Mohamad Azroy, 1, dan Nuraisyah Mohamad Azroy berusia empat bulan menghidap masalah jantung tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menurut Farah Idayu, anak keduanya, Nurfatihah menghidap masalah jantung Tetralogy of Fallot (TOF) atau penyakit jantung konginetal sianotik, selain Major Aorfa Pulmonary Colateral Arteries (MAPCA) atau tiada pembuluh darah.

“Dia tidak boleh makan makanan pejal kerana dia cepat mengah apabila mengunyah yang menyebabkan badannya kebiruan. Jadi doktor mengesyorkan dia diberikan susu khas bagi menggantikan zat.

“Adiknya Nuraisyah pula menghidap jantung berlubang (VSD), Duktus Arteriosus Terbuka (PDA) dan tidak boleh minum susu sebarangan, dia akan muntah dan cirit birit sehingga mengakibatkan nafasnya menjadi laju,” katanya.

Nurfatihah
Nurfatihah

Dia berkata, doktor memaklumkan tiada rawatan dapat dijalankan untuk menyembuhkan anak keduanya, selain jangka hayatnya dijangka mampu bertahan 15 hingga 20 tahun saja.

Katanya, pakar mengesahkan tiada lagi harapan buat Fatihah kerana keadaannya kini 50-50, malah tiada ubat dan rawatan dapat dilakukan di Malaysia manakala buat Aisyah, dia terlalu kecil lagi untuk menjalani pembedahan.

“Semakin dia membesar, dia (Fatihah) akan mengalami banyak komplikasi dan dijangka kerap masuk hospital kerana membiru, tidak boleh terkena panas dan pengsan kerana lemah imunisasi.

Artikel Berkaitan:

“Ini ujian dan dugaan buat saya sekeluarga. Terima kasih di atas bantuan yang dihulurkan oleh orang ramai kepada kami sekeluarga, Alhamdulillah rezeki anak-anak saya murah, ramai yang datang membantu.

"Semalam ada juga orang dari Singapura datang ke rumah melawat kami sekeluarga,” katanya.

Nuraisyah
Nuraisyah

Katanya, hanya suaminya, Mohamad Azroy Ali, 25, yang bekerja sebagai pembantu di pasar malam dan memperoleh gaji sebanyak RM50 sehari mengikut keadaan.

“Saya tidak boleh keluar bekerja, anak-anak perlukan perhatian rapi, pernah suatu ketika saya memasak di dapur, Fatihah tiba-tiba pengsan, dan menyebabkan dia kebiruan membuatkan saya jadi trauma untuk berjauhan dengan dia walaupun seminit,” katanya.

Kesusahan yang dihadapi oleh ibu yang memiliki dua anak menghidap penyakit kronik ini, mendapat perhatian daripada Exco Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon, apabila beliau hari ini sempat meluangkan masa hampir 30 minit bertanya khabar keluarga itu.

Mohammad Hapil (tengah) memberikan maklumat berkenaan bantuan JKM.
Mohammad Hapil (tengah) memberikan maklumat berkenaan bantuan JKM.

Menurut Nicole Tan, dia mengetahui kisah keluarga ini sejak ia tular di media sosial, dan telah pun dimaklumkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bahawa mereka ini sudah pun dibantu.

“Lawatan hari ini saya ingin melihat secara dekat masalah yang dihadapi keluarga ini, selain bercadang akan menyediakan platform untuk ibu ini bekerja dari rumah untuk tambah pendapatan.

“Kita mempunyai pelbagai program untuk membantu insan seperti ini, disebabkan dia ada kekangan untuk keluar dan perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada anak-anak, jadi kita akan membantu ibu ini bekerja dari rumah.

"Manakala bantuan-bantuan lain, JKM sudah pun beri sebanyak RM300 sebulan selain turut menerima bantuan Baitulmal,” katanya ketika ditemui semasa melawat keluarga ini di Taman Pinggiran Bandar Seremban Selatan Fasa 3a dekat sini hari ini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani dan Pengarah JKM Negeri Sembilan,

Sementara itu, Mohammad Taufek berkata, pihaknya akan membantu melalui Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan bagi memberi modal perniagaan kepada suaminya untuk menjalankan perniagaan selain akan mencarikan pekerjaan yang lebih sesuai.

Katanya, kerajaan negeri juga akan membantu mereka mendapatkan tempat tinggal di bawah pentadbiran SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) atau Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dengan kadar yang lebih murah berbanding sekarang ini RM500 sebulan.

“Saya juga akan cuba membantu mencarikan pekerjaan baru untuk ayah tiga beranak ini, kebetulan semalam dia ada menghadiri temuduga kerja sebagai Pembantu Am Gred H11, dan jika dia layak serta memenuhi kriteria, kita akan usahakan supaya dia dapat kerja itu, sekiranya dia benar-benar layak,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan bantuan ke akaun Ambank 8881031641971.