Kerajaan lantik wakil orang asli dalam JKMPKA: Waytha Moorthy

P Waytha Moorthy
P Waytha Moorthy
A
A
A

PUTRAJAYA - Wakil orang asli akan dilantik dalam Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) bagi sesi 2020-2021, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Waytha Moorthy yang memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial berkata, kerajaan akan memperuntukkan satu atau dua tempat untuk masyarakat orang asli pada lantikan JKMPKA tahun depan.

"Adalah wajar untuk kerajaan Malaysia baharu memberi satu pengiktirafan kepada penganut yang amal kepercayaan animisme," katanya pada majlis penghargaan "Jasamu Dikenang" JKMPKA di sini hari ini.

JKMPKA sesi 2018-2019 terdiri daripada 32 orang mewakili agama Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Taoist, Sikh dan Baha'i serta ahli akademik, belia dan wakil Sabah dan Sarawak.

Waytha Moorthy berkata, pihaknya akan membuat permohonan khas untuk bajet JKMPKA kepada Kementerian Kewangan bagi membolehkan JKMPKA mengambil peranan lebih aktif dalam menangani isu berkaitan.

Beliau berkata, Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi Nasional yang akan ditubuhkan kelak memainkan peranan penting dalam negara dalam menangani isu melibatkan perkauman dan konflik antara agama.

"Saya jangka satu akta bagi menubuhkan suruhanjaya tersebut dapat disediakan pada awal tahun depan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: