DAP mahu SESCO kaji semula penguatkuasaan kecurian tenaga

Dr Ting Tiong Choon
A
A

MIRI - Pembekal tunggal tenaga elektrik di Sarawak, Syarikat SESCO Berhad perlu mengkaji semula operasi penguatkuasaan mereka terhadap kecurian tenaga bagi memastikan pelaksanaannya lebih telus dan adil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut daripada DAP, Dr Ting Tiong Choon berkata, operasi penguatkuasaan berterusan yang sedang dijalankan telah melahirkan kebimbangan kerana beberapa tindakan yang diambil ke atas pengguna dalam kes kecurian tenaga dikatakan tanpa bukti yang kukuh.

Menurutnya, SESCO juga terus memotong bekalan elektrik pengguna walaupun terdapat rayuan berulang.

“Saya tidak mempertahankan aktiviti mencuri bekalan elektrik tetapi sejak operasi ini dijalankan, saya menerima banyak panggilan telefon dan aduan, hampir setiap hari mengenai masalah ini. Mereka (pengguna) harus diberikan peluang untuk membuktikan mereka tidak bersalah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sebagai contoh, Tiong Choon berkata, semalam terdapat dua kes kecurian tenaga membabitkan sebuah rumah kediaman dan premis komersial di sini yang menyebabkan SESCO kerugian lebih RM20,000.

“Pemilik kedua-dua premis itu diminta membayar masing-masing RM12,096.50 dan RM12,557.70 kepada SESCO untuk kecurian tenaga walaupun meter mereka didapati tidak diusik,” katanya.

Beliau berkata, pemilik kediaman di Jalan Pujut, di sini, telah menanggung tunggakan berjumlah RM12,096.50 sejak Oktober 2013 walaupun notis pemulihan tunggakan daripada SESCO menyatakan meter itu tidak diusik.

“Mengapa menunggu selama enam tahun untuk bertindak terhadap pemiliknya dan yang paling penting tidak ada bukti yang kukuh mengatakan meter telah diusik, tetapi tanpa pilihan, pengguna terbabit perlu membayar tunggakan kepada SESCO,” katanya.

Selain itu, menurutnya, pemilik premis komersial di Jalan Lutong juga menanggung tunggakan sebanyak RM12,557.70 sejak Mac 2016 dan berhadapan masalah sama namun tiada bukti diberikan SESCO.

Katanya, terdapat kes yang dibangkitkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei lepas mengenai seorang pengguna di Bandaraya Miri yang didenda RM35.80 akibat percanggahan meter yang menyebabkan bacaan meter lebih rendah dan ia bukan kesalahan pengguna.

“Saya telah membangkitkan isu ini semasa persidangan DUN (Dewan Undangan Negeri) pada 7 Mei lepas dengan Menteri Utiliti Negeri, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom. Beliau mengakui masalah itu namun sehingga hari ini, beliau (Dr Rundi) tidak memberi jawapan walaupun beliau berjanji untuk mendedahkan hasil siasatan,” katanya. - Bernama