Dua lelaki bergaduh ditahan

Rakaman video yang tular di media sosial dengan dakwaan berlaku pergaduhan besar di sebuah flat di Salak Selatan, malam tadi.
A
A

CHERAS - [KEMASKINI] Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dengan insiden pergaduhan di kawasan sebuah flat di Salak Selatan, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed berkata, Pusat Kawalan Cheras menerima panggilan daripada orang awam pada jam 7.45 malam memaklumkan terdapat kekecohan di kawasan tersebut.

Menurutnya,anggota Ronda Cegah Jenayah dari Balai Polis Salak Selatan bersama lima kereta peronda polis ke lokasi kejadian.

Katanya, polis menahan dua lelaki yang sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal dapati seorang daripada lelaki ditahan mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes gaduh dan empat kes lampau berkaitan dadah.

"Siasatan lanjut diteruskan bagi mengenalpasti motif insiden pergaduhan berlaku," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

"Keadaan tenang dan terkawal di sekitar kawasan terbabit selepas kejadian," katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 46 saat dengan kapsyen berlaku pergaduhan antara kaum di lokasi kejadian.

Insiden itu digembar-gemburkan dan tersebar di aplikasi WhatsApp serta laman sosial.

Pihak yang memuat naik video itu memberitahu seorang lelaki dalam keadaan mabuk memukul seorang individu menyebabkan mangsa memanggil geng untuk berlawan.

Insiden didakwa tidak terkawal apabila ada individu yang menggunakan pedang dalam pergaduhan tersebut.

Bagaimanapun polis mendakwa tiada pergaduhan besar seperti dilaporkan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia