Najib dijangka beri keterangan di Bukit Aman esok

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir memberi keterangan di Bukit Aman, esok bagi membantu siasatan berhubung kes kenyataan berbaur fitnah yang dimuat naik di laman sosial Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Beliau berkata, Najib dijangka tiba di Bukit Aman pada sekitar 9 pagi.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming sebelum ini dilapor menggesa polis menyiasat laman sosial Facebook 'Najib Razak' yang memuat naik hantaran didakwa berbaur fitnah pada 30 September lepas.

Najib menerusi perkongsian di Facebook menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil tindakan terhadap Kor Ming berhubung satu kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang dimuat naik melalui satu hantaran di akaun Facebook.

Pada 29 September lepas, tular di media sosial mengenai hantaran yang dimuat naik di Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor.

Kor Ming bagaimanapun menafikan beliau dan DAP terlibat dalam membuat hantaran itu dan menegaskan akaun itu sebagai akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya serta parti itu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Najib dipanggil ke Bukit Aman minggu ini

Artikel Berkaitan: