Cadang guna LED ganti lampu rosak

Kemudahan lampu limpah yang tidak sempurna menimbulkan rungutan. - Gambar kecil: Rahilah Rahmat
Kemudahan lampu limpah yang tidak sempurna menimbulkan rungutan. - Gambar kecil: Rahilah Rahmat
A
A
A

KUALA SELANGOR – Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) masih mengkaji penggunaan lampu limpah jenis Light Emitting Diode (LED) di Stadium Utama Kuala Selangor sekali gus memastikan kemudahan itu mudah diselenggarakan.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, pihaknya sedia maklum mengenai aduan kerosakan lampu limpah di stadium terbabit yang dipanjangkan penduduk setempat.

“MDKS sedang membuat kajian bagi mempertimbangkan cadangan penggunaan lampu limpah jenis LED bertujuan untuk menjimatkan bil elektrik pada masa akan datang.

“Ini kerana kos penyelenggaraan lampu tersebut menelan perbelanjaan yang tinggi,” katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai aduan kerosakan lampu limpah di Stadium Utama Kuala Selangor.

Menurutnya, secara dasarnya kelulusan cadangan pembaikan lampu limpah di Stadium Utama Kuala Selangor itu sudah pun diluluskan untuk baik pulih.

“MDKS juga akan membuka sebut harga bagi kerja pembaikan lampu limpah yang rosak pada pertengahan bulan ini dan dijangkakan pelaksanaan pembaikan pada awal Februari nanti,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Terdahulu, kemudahan lampu limpah yang tidak berfungsi sempurna di Stadium Kuala Selangor, di sini didakwa menimbulkan rungutan lebih-lebih lagi ketika penganjuran perlawanan bola sepak pada waktu malam.

Lebih mengecewakan, lampu limpah yang tidak terang merosakkan suasana permainan bahkan kadar sewa yang dikenakan didakwa tidak setimpal dengan kemudahan yang ditawarkan.

Artikel Berkaitan: