Graduan UMK diingatkan jangan lakukan provokasi

Noor Azizi (tengah) ketika sidang akhbar di UMK Bachok hari ini.
Noor Azizi (tengah) ketika sidang akhbar di UMK Bachok hari ini.
A
A
A

BACHOK - [DIKEMASKINI] Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Ts Noor Azizi Ismail mengingatkan kepada semua graduan yang diraikan tidak membuat sebarang provokasi pada konvokesyen kesembilan mereka Sabtu ini.

Noor Azizi juga cukup yakin dengan kesemua graduan UMK tidak akan melakukan perkara yang merosakkan imej universiti dan merugikan masa depan mereka.

Lagipun, beliau berkata, di UMK dua penuntut dipilih untuk menganggotai Senat yang mana mewakili penuntut untuk menyalurkan sebarang pandangan kepada pengurusan dan sentiasa mendapat perhatian.

“Sebagaimana yang berlaku di sebuah universiti baru-baru ini kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut. Kami tidak mahu ini berlaku,” katanya pada sidang akhbar di UMK Bachok hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik Antarabangsa) UMK, Prof Dr Mohd Rafi Yaacob dan Pendaftar UMK, Mazula Sabudin.

Baru-baru ini tular video seorang graduan sebuah universiti tempatan menjerit dan menunjukkan tanda protes sejurus selepas menerima skrol ijazah sarjana muda dalam majlis istiadat konvokesyen yang turut mengundang kecaman daripada netizen.

Menerusi perkongsian video di Twitter Hazwan Syafiq, rakaman durasi 14 saat itu memaparkan seorang lelaki menjerit sambil memegang kertas melaungkan 'undur VC' dan 'ini tanah Malaysia' tular di media sosial.

Pada Konvokesyen Kesembilan UMK selama tiga hari bermula Sabtu ini seramai 2,062 graduan bakal menerima ijazah masing masing dalam lima sidang di kampus Bachok.

Artikel Berkaitan:

Istiadat konvokesyen kali ini akan disempurnakan oleh Canselor UMK, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra juga Tengku Mahkota Kelantan pada jam 9 pagi.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Noor Azizi juga menaruh kepercayaan terhadap sahsiah penuntut di UMK yang selama ini tidak terpalit dengan perkara tidak sihat dan sentiasa menjaga adab serta tatasusila.

“Kelebihan itu jugalah yang menjadikan graduan UMK sentiasa laris dan mendapat tempat bagi memenuhi pemain-pemain industri,” katanya.

Dalam pada itu, katanya selama 13 tahun penubuhan seramai 11,753 graduan telah dihasilkan dan lepasan pengajian melibatkan perempuan lebih ramai iaitu 8,535 berbanding 3,210 orang lelaki.