Rai graduan UMK di dewan baharu

Noor Azizi (tiga dari kanan) meninjau persiapan istiadat konvokesyen yang bakal berlangsung Sabtu ini.
Noor Azizi (tiga dari kanan) meninjau persiapan istiadat konvokesyen yang bakal berlangsung Sabtu ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Konvokesyen Kesembilan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang bermula Sabtu ini bakal mencatat sejarahnya tersendiri apabila buat kali pertama berlangsung di dewan mereka sendiri di sini.

Naib Canselor UMK, Prof Ts Dr Noor Azizi Ismail berkata, pada tahun ini seramai 2,062 graduan akan diraikan di Dewan Tuanku Canselor yang baru disiapkan pada Mei 2019.

Menurutnya, dengan kapasiti memuatkan sehingga 1,800 orang dan merupakan dewan universiti terbesar di negeri itu, ia dapat memendekkan masa konvokesyen kepada tiga hari berbanding sebelum ini lima hari.

“Istiadat konvokesyen kesembilan sangat istimewa dan dewan berkonsepkan seni bina rumah Kelantan ini akan menjadi tanda semangat yang tidak pernah padam kerana di sini nanti akan berlangsungnya istiadat konvokesyen seterusnya,” katanya pada sidang akhbar di UMK Bachok.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik Antarabangsa) UMK, Prof Dr Mohd Rafi Yaacob dan Pendaftar UMK, Mazula Sabudin.

Istiadat konvokesyen kali ini akan disempurnakan oleh Canselor UMK, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra yang merupakan Tengku Mahkota Kelantan pada jam 9 pagi.

Noor Azizi berkata, pada istiadat konvokesyen tersebut, UMK turut menganugerah Ijazah Kehormat Dr Falsafah (Keusahawanan) kepada mantan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman bagi menghargai jasa beliau selama 11 tahun mencurahkan idea kepada universiti.

Dalam pada itu, seramai 17 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 38 graduan Ijazah Sarjana, 27 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan 1,980 bagi Ijazah Sarjana Muda dalam lima sidang.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Noor Azizi juga memaklumkan peratus kebolehpasaran graduan UMK sentiasa meningkat dan berdasarkan data terkini sehingga petang kelmarin sebanyak 78 peratus sudah bekerja.

Pertambahan tersebut katanya dengan mengambil kira kelebihan graduan yang dilahirkan di UMK sentiasa memenuhi kehendak pemain industri di negara ini selain kemampuan mewujudkan peluang pekerjaan secara sendiri.

Selain itu katanya, UMK turut menyediakan pelbagai program kepada orang ramai di sekitar kampus untuk memeriahkan pesta konvokesyen.