Kisah graduan 'selfie' di pentas konvo kembali tular

Kisah Muhammad Hasrul Haris yang 'berselfie' di pentas ketika Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 pada empat tahun kembali tular.
Kisah Muhammad Hasrul Haris yang 'berselfie' di pentas ketika Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 pada empat tahun kembali tular.
A
A
A

SHAH ALAM - Masih ingatkah kisah graduan jurusan Diploma Fotografi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Hasrul Haris Mohd Radzi yang teruja untuk 'berselfie' di pentas ketika Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 pada empat tahun lalu.

Kisah itu kembali tular hari ini dan sedia maklum graduan dari UiTM Lendu menerima 'hukuman' digantung pengajian selepas perbuatan itu dianggap tidak menghormati etika majlis konvokesyen.

Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar mengesahkan Muhammad Hasrul digantung pengajian untuk tempoh setahun atau dua tahun di atas perbuatannya itu.

Namun berbeza dengan kes Wong Yan Kee, 23, apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak bersetuju dengan desakan pihak tertentu supaya ijazah sarjana muda graduan itu ditarik balik kerana menunjukkan plakad ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ semasa konvokesyen Universiti Malaya (UM) pada Isnin lalu.

Bukan itu sahaja, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut menggesa Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Abdul Rahim Hashim menarik semula laporan polis yang dibuat terhadap graduan itu di atas tindakannya membuat protes baru-baru ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Abdul Rahim perlu bertindak sedemikian dan berhenti menyasarkan aktivis pelajar yang melakukan protes.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sebelum ini mempertahankan hak pelajar untuk berdemonstrasi namun berpandangan bahawa majlis konvokesyen bukanlah tempat yang sesuai untuk melakukan protes berkenaan.

Maka katanya, sebarang protes yang berlaku dalam majlis konvokesyen universiti atau hal yang berkaitan sepatutnya ditangani selari dengan semangat tersebut dan bukan dengan cara keras yang akan memburukkan nama baik UM.

Artikel Berkaitan:

Sungguh pun begitu, Penggerak Mahasiswa UM (PMUM) tetap berpendirian menuntut UM menarik balik ijazah sarjana muda milik Yan Kee kerana menyifatkan tindakan itu sebagai biadab, memalukan diri sendiri selain merosakkan nama universiti.

Sementara itu, rata-rata netizen mempersoalkan hukuman yang setimpal buat graduan itu malah tidak bersetuju kenyataan Syed Saddiq.

"Jika YB tidak bersetuju mungkin boleh utarakan apa hukuman yang setimpal untuk pelajar itu.

"YB juga cakap, hari bahagia untuk pelajar dan ibu bapa lain, sepatutnya perkara itu tidak berlaku dan perlu kenakan tindakan, jika tidak akan jadi ikutan," tulis Mohd Shazlan.