X

Kindly register in order to view this article
!

Sistem pengangkutan mampan pacu pertumbuhan negara: Dr Mahathir

Dr Mahathir ketika berucap melancarkan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 di Stesen Sentral Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia boleh mengharapkan kepada kerajaan untuk menyediakan sistem pengangkutan mampan yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan berada dalam kedudukan terbaik untuk berbuat demikian menerusi perancangan strategik selain kerjasama dan komitmen daripada peserta industri, rakyat serta pihak lain.

"Dasar ini akan memastikan Malaysia kekal menjadi negara mesra perniagaan, memenuhi keperluan industri dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa dalam industri pengangkutan," katanya ketika melancarkan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 di sini hari ini di KL Sentral hari ini.

Dr Mahathir berkata, Dasar Pengangkutan Negara atau DPN itu adalah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 yang bermatlamatkan kesaksamaan keberhasilan.

Menurutnya, ia juga memberi penekanan kepada inklusiviti dalam penyertaan rakyat mahupun pemain industri dalam aktiviti ekonomi sektor pengangkutan khususnya pengangkutan awam.

"Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian dan akan ditangani melalui dasar itu adalah perkembangan teknologi terkini dan perubahan trend mobiliti rakyat dengan perkembangan e-dagang.

"Perkembangan teknologi termasuk e-dagang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak termasuk pemain industri pengangkutan dan usahawan dalam bidang pengangkutan bagi mendapatkan faedah ekonomi," katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan akan terus berusaha menambah jumlah perkhidmatan pengangkutan awam termasuk melalui projek pembinaan rel dalam bandar bagi memenuhi keperluan penduduk bandar.

Katanya, Malaysia memilih untuk tidak mengehadkan jumlah kenderaan persendirian dan ini menjurus kepada jalan dalam bandar serta luar bandar terpaksa dibina sepanjang masa.

"Untuk mengurangkan kesesakan akibat pertambahan ini, kerajaan akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam termasuk membekalkan rel elektrik berkembar," katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa penggunaan rel masih berada di tahap rendah dengan kenderaan berat dan besar masih banyak menggunakan jalan raya yang mengundang kemalangan.

Menurutnya, adalah lebih baik jika 'freight' yang besar dan berat menggunakan sistem rel sedia ada.

"Jika sistem yang ada sekarang tidak mencukupi, kerajaan akan berusaha menambah kemudahan ini daripada pendapatan yang akan bertambah jika sistem rel lebih digunakan untuk muatan barangan terutama yang berat dan besar," katanya.

Jelas Dr Mahathir, kajian akan dibuat supaya sistem rel kita digunakan sepenuhnya dan pihak swasta dijemput untuk mencadang dan melabur serta menyewa landasan sedia ada."

Beliau berkata, kerajaan akan menaik taraf rangkaian rel sedia ada selain membangunkan jajaran baharu kereta api seperti landasan cawangan Bukit Kayu Hitam dan Landasan Pintasan Serendah-Pelabuhan Klang.

Perdana Menteri juga mahu pemain industri dalam sektor udara dan laut memanfaatkan peningkatan permintaan dengan meningkatkan 'volume' perkhidmatan masing-masing untuk memenuhi keperluan semasa, sekali gus memberi faedah kepada ekonomi negara.

Katanya, antara tindakan yang dirancang dalam DPN ialah mewujudkan garis panduan pembinaan infrastruktur pengangkutan termasuk laluan rel untuk mengawal kesan pembinaan ke atas alam sekitar.

"Turut diberi perhatian ialah amalan 'Transit-Oriented Development' atau TOD yang menggalakkan pembangunan di kawasan yang mempunyai kemudahan pengangkutan seperti terminal pengangkutan awam supaya penduduk sekitar mudah sampai ke terminal berkenaan," katanya.

Dr Mahathir juga mahu kemudahan di hentian, stesen dan terminal pengangkutan darat, laut serta udara bersesuaian dengan kemampuan fizikal warga emas.

"Ruang dan laluan khas di terminal serta dalam kenderaan pengangkutan awam juga harus disediakan untuk manfaat golongan berkeperluan khas seperti orang kelainan upaya," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus