Kerajaan komited bantu industri media: Gobind

Isu tersebut sudah dibawa ke peringkat Kabinet

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub (kanan) memberi penerangan mengenai cetakan al-Quran sewaktu menerima kunjungan Gobind Singh di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam hari ini.
Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub (kanan) memberi penerangan mengenai cetakan al-Quran sewaktu menerima kunjungan Gobind Singh di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam hari ini. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan komited untuk membantu industri media yang kini berdepan pelbagai cabaran, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Menurutnya, beliau telah memanjangkan isu tersebut kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan berpendapat kerajaan boleh memainkan peranan untuk membantu media.

Gobind berkata, beliau kini dalam proses berjumpa pengamal media dan meneliti sejauh mana kerajaan boleh membantu mereka.

“Saya rasa kita perlu beri perhatian terhadap isu ini. Sebenarnya isu ini saya telah angkat kepada peringkat Kabinet beberapa minggu lalu dan telah dibawa kepada perhatian Perdana Menteri.

“Beliau telah meminta saya berikan cadangan supaya boleh pertimbangkan. Kalau boleh, hujung bulan depan kita buat keputusan,” katanya yang ditemui ketika lawatan kerja di Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Gobind berkata demikian merujuk kepada industri media di Malaysia yang mengalami penurunan apabila perkembangan teknologi membuatkan masyarakat tidak lagi menggemari media cetak dan mula beralih ke media digital.

Situasi semakin meruncing apabila akhbar bahasa Melayu tertua di Malaysia, Utusan Malaysia menghentikan pengeluaran dan operasinya pada 9 Oktober lepas.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Puchong itu menegaskan banyak perkara perlu dilihat dalam usaha kerajaan untuk membantu industri media.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap Kabinet dapat buat satu keputusan dan bila keputusan dibuat, saya akan umumkan bagaimana kita boleh bantu dan bila kita akan bantu. Itu yang penting,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapor SKMM jika hadapi masalah siaran televisyen digital: Gobind