TMM 2020: Negeri Sembilan 'jual' nama di London

Aminuddin (tengah) bersama pengunjung dan tetamu pada Program NS Fest 2019 di Dataran Nilai.
A
A

NILAI - Kerajaan Negeri Sembilan sedang giat melakukan persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) termasuk menaik taraf pusat-pusat pelancongan di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga telah diarahkan untuk memastikan kebersihan tempat tumpuan termasuk di bandar-bandar.

"Selain itu, satu rombongan dari Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan ke London bagi tujuan mempromosikan Negeri Sembilan.

“Rombongan dijangka berangkat ke London pada November ini untuk ‘menjual' nama Negeri Sembilan di sana,” katanya selepas merasmikan NS Fest 2019 di Dataran Nilai hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri Sembilan sedang melihat pakej pelancongan yang berpotensi dijual di negeri ini sempena TMM 2020.

Aminuddin ketika melawat sekitar booth niaga sekitar NS Fest 2019 di Dataran Nilai hari ini.
Aminuddin ketika melawat sekitar booth niaga sekitar NS Fest 2019 di Dataran Nilai hari ini.

“Kita sudah ada pakej pelancongan di Port Port Dickson cuma mungkin perlu tambah lagi pakej eko-pelancongan contohnya muzium, gunung, air terjun serta hutan simpan yang boleh dikunjungi pelancong,” katanya.

Aminuddin turut berharap mendapat peruntukan untuk mempromosikan negeri itu melalui Belanjawan 2020 susulan Motac menerima sebanyak RM1.1 bilion.

Terdahulu, Aminuddin berkata, NS Fest 2019 telah dimasukkan dalam kalender TMM 2020 dan akan menjadi acara tahunan di negeri ini.

"Semoga penganjuran ini dapat membantu kerajaan negeri menjayakan usaha yang berterusan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi khususnya rakyat di Negeri Sembilan dengan menjadikan keusahawanan serta bidang pertanian sebagai satu kerjaya pilihan.

"Bagi sektor pelancongan, festival ini dapat mengetengahkan tarikan, kelebihan dan keunikan Negeri Sembilan Negeri Beradat untuk diterokai bersama," katanya.